Wednesday, July 29, 2009

TOK MAT ketuai konvoi motosikal jelajah NS

SEREMBAN 28 Julai - Sebanyak 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi akan menyertai konvoi Jelajah Menteri Besar Negeri Sembilan mulai 31 Julai hingga 1 Ogos ini.

Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abd. Rahman berkata, lebih istimewa lagi, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai konvoi tersebut yang dianjurkan sempena Pesta Motosikal Antarabangsa Port Dickson 2009.

Menurut beliau, pelepasan peserta bakal disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail di pekarangan Hotel Royale Bintang dekat sini Jumaat ini.

''Seterusnya konvoi akan bergerak ke lokasi-lokasi pelancongan terpilih sekitar negeri ini dan Eagle Ranch Resort, Port Dickson merupakan destinasi terakhir," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Badrulhisham memberitahu, penjelajahan meliputi jarak keseluruhan 298.5 kilometer dan akan singgah di beberapa inap desa di Klawang, Gemas serta Port Dickson.

Tambah beliau, antara lokasi lain yang akan disinggahi sepanjang perjalanan itu termasuk Hutan Lipur Jeram Toi, Masjid Kuala Dulang dan Muzium Adat di Jelebu; Hutan Lipur Serting Ulu dan Teratak Zaaba di Jempol serta Gunung Tampin dan Tugu Peringatan Sungai Kelamah di Tampin.

''Selain itu, peserta konvoi berpeluang melawat Taman Sukabumi, Lembah Lemang dan Kompleks Rembau Kristal di Rembau serta Muzium Lukut, Muzium Tentera Darat dan Pulau Cahaya Negeri di Port Dickson," jelasnya.

Katanya, aktiviti lain di Eagle Ranch Resort, Port Dickson pada 1 Ogos ini termasuk pameran dan pertandingan motosikal, cuci motosikal amal serta persembahan muzik.

Peluang bagi ahli ahli Umno bukan sahaja menyertai aktiviti sihat di N Sembilan tetapi juga melihat dan menilai sendiri perkembangan dan permasalahan sekitar. Perjuangan di dalam Umno bukan untuk mengejar kedudukan tetapi keutamaan terhadapa keperluan rakyat harus diutamakan.
 
Perjalanan atau kembara yang akan melalui tempat tempat penting dan bersejarah seperti teratak Zaaba yang merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Umno seharusnya dijadikan panduan bagaimana golongan terdahulu mengembeling tenaga dan fikiran dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Usaha bersama yang perlu dipupuk kerana ia melibatkan usaha semua pihak dan bukan hanya dibiarkan kepada kerajaan negeri.
 
Kembara yang juga boleh digunakan dalam lebih memahami struktur budaya dan masyarakat di N Sembilan yang bukan hanya berbilang suku budaya tetapi juga berbilang kaum dan agama dalam menuju wawasan 1Malaysia. Ia juga boleh dijadikan landasan dalam mengenal pasti peluang peluang baru dan keperluan setempat di setiap kawasan yang dilawati.
 
Ia seharusnya menjadi kembara yang penuh dengan unsur unsur pengetahuan, ekonomi, sejarah, budaya, sosial, aktiviti pelancongan dan macam macam lagi di sekitar N sembilan. Syabas dan tahniah kepada Menteri Besar N Sembilan dan semoga acara ini dapat dikembangkan lagi justeru menjadi acara tahunan di N Sembilan
 
 

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?