Wednesday, April 29, 2009
Sistem gilir soalan lisan disokong ahli Dewan
SEREMBAN 28 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan lancar hari ini apabila sistem penggiliran dalam mengemukakan soalan lisan di kalangan penyokong kerajaan dan pembangkang dijalankan dengan baik.
Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor (BN-Pertang) berkata, proses itu dibuat selepas mengambil kira keperluan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada kerajaan atau pembangkang mengemukakan soalan masing-masing untuk kepentingan rakyat.
''Pada persidangan ini, saya juga membenarkan setiap ADUN mengemukakan cuma satu soalan tambahan," katanya pada pembukaan sesi soal jawab persidangan DUN di sini semalam.
Perkara itu mendapat sokongan kesemua ADUN yang bersidang pada hari ini, walaupun ada bantahan daripada Loke Siew Fook (DAP-Lobak) terhadap tiga soalan lisan dikemukakan, yang dilihatnya terlalu panjang dan mengambil masa yang lama.
''Buat masa ini saya akan mengikut prosedur yang ditetapkan di mana setiap ADUN dibenarkan mengemukakan tiga soalan lisan sebagaimana yang ditetapkan," kata Razak.