Tuesday, April 21, 2009
Jangan taksub pada pemimpin tertentu
SEREMBAN 20 April - Generasi muda masa kini diminta tidak bersikap taksub dengan perjuangan pemimpin tertentu kerana dikhuatiri mampu menjurus kepada perpecahan perpaduan di kalangan masyarakat negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perpecahan akan mengakibatkan negara yang selama ini dibentuk menerusi perpaduan berada pada tahap tidak stabil.
''Saya amat risau dengan arus masyarakat yang semakin berpecah-belah pada masa kini. Masing-masing buat hal sendiri.
''Secara tidak langsung, generasi muda akan terperangkap dalam keadaan berpecah-belah hanya kerana taksub kepada pemimpin yang dilihat mengancam perpaduan negara," katanya.
Menyedari masalah itu, beliau memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak mewujudkan konsep Satu Malaysia untuk mengelakkan masalah perpaduan menjadi lebih meruncing pada masa depan.
''Saya amat sukacita kerana manifesto Perdana Menteri berkaitan perpaduan telah diisytiharkan.
''Generasi muda terutama pelajar perlu bersama-sama mendukung hasrat Perdana Menteri itu supaya negara terus cemerlang kerana pemimpin yang ada datang dan pergi," kata beliau.