Friday, March 06, 2009

Salam Maulidur Rasul 1430 Hijrah


SEREMBAN 5 Mac - Pelbagai program diatur sempena Bulan Dakwah peringkat negeri dan kemuncaknya pelancaran sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah yang berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelancaran Bulan Dakwah dan sambutan Maulidur Rasul itu akan disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada pukul 8 malam di pusat dakwah berkenaan.


''Perarakan Maulidur Rasul secara besar-besaran pula akan berlangsung pada 9 Mac iaitu hari Isnin bermula pada pukul 7 pagi yang akan turut disertai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.


''Kita mengundang seluruh umat Islam untuk bersama-sama berarak dan berselawat di sekitar bandar Seremban. Bawalah keluarga datang beramai-ramai," kata beliau di sini hari ini.


Kata Mohamad, program Bulan Dakwah ini bertujuan menggerakkan usaha dakwah secara bersepadu antara agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) agar dapat mewujudkan kesedaran 'wehdatul amal' dalam menjalankan kerja dakwah.


''Kita mahu umat Islam diberi penjelasan dan penghayatan terhadap pentingnya amalan prinsip kehidupan dalam Islam berasaskan kepada ketamadunan, selain meneruskan usaha amar makruf dan nahi mungkar dalam masyarakat berasaskan konsep sayang dan tanggungjawab sosial sesama insan," jelas beliau.


Antara aktiviti yang dirancang oleh Jabatan Agama Islam negeri ialah kembara dakwah bermotosikal, bicara belia, lawatan saudara baru dan Orang Asli, seminar, forum cintai Rasulullah SAW, ziarah, jejak remaja dan pameran sesuai dengan temanya, 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.


Program ekspedisi dakwah melibatkan motosikal itu akan juga menjalankan aktiviti tambahan seperti khidmat sosial, gotong-royong, zikir dan doa, ceramah, latihan amali dalam kumpulan, muhasabah, ibadah selain sukan dan rekreasi.


''Program hafazan peringkat negeri juga akan diadakan bagi menyuburkan budaya cintakan al-Quran di kalangan pelajar dan masyarakat, selain memilih wakil negeri ke peringkat kebangsaan," kata beliau.


Mohamad memberitahu, pada malam pelancaran program tersebut, turut disampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1430 oleh Tuanku Muhriz


*-----------


Semoga sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini akan dapat disertai oleh lebih ramai umat Islam terutamanya di N Sembilan. Semua golongan tidak kira tua, muda, keluarga, belia dan semuanya dapat bersama sama dalam menjayakan sambutan pada tahun ini.


Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad (S.A.W). Semoga kita sama sama mengingati dan menghayati keputeraan junjungan besar kita dan mendapat keberkatan dan rahmatnya serta dijadikan pedoman dan sumber pertimbangan dalam kehidupan.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?