Tuesday, March 03, 2009

JALAN BUKIT PUTUS BUKIT BUKIT MIKU DITUTUP UNTUK KENDERAAN BERAT






SEREMBAN 2 Mac - Jalan Bukit Putus dari sini ke Kuala Pilah ditutup kepada semua kenderaan berat bermula jam 6 petang ini, berikutan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat semalam.



Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim menjelaskan penutupan itu terpaksa dilakukan memandangkan laluan utama tersebut tidak dapat menampung kenderaan berat.



Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kenderaan ringan serta perkhidmatan bas berhenti-henti masih dibenarkan melalui jalan berkenaan bagi kemudahan orang ramai.



"Bagi memastikan keadaan trafik berjalan lancar di kawasan berkenaan, semua kenderaan berat diarah menggunakan Jalan Seremban Tampin untuk ke Kuala Pilah memandangkan keadaan jalan yang kini kurang stabil akibat kesan gegaran.



"Untuk tujuan itu, kita meminta kerjasama polis trafik bagi memudahkan laluan trafik agar semua kenderaan berat dapat dialihkan ke Senawang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Ismail menjelaskan pengguna kenderaan ringan yang menggunakan laluan Jalan Bukit Putus dinasihatkan berhati-hati terutamanya di Kilometer 14.7 dan 15.3 berikutan kerja-kerja membaik pulih jalan berkenaan masih berjalan.



Beliau menjelaskan, Jalan Miku-Kampung Batu Rembau juga terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat tanah runtuh dan meminta orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan agar menggunakan laluan trafik ke Tampin untuk ke Johol d Kuala Pilah.



Tambahnya, antara tindakan segera yang diambil oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah memasang papan tanda selain membuat lencongan jalan.



"Kita juga menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau keadaan jalan melalui Unit ronda serta Konsesi Selia Selenggara Sdn. Bhd.," katanya.



Namun, kata Ismail, beberapa jalan yang terpaksa ditutup semalam kini telah dibuka termasuk Jalan Seremban-Mantin, Jalan Terachi-Seri Menanti dan Jalan Lenggeng-Mantin melalui Bukit Puyoh.



----




Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?