Monday, November 03, 2008

Umno Seremban Jangan Khianati Orang Melayu

Bersempena dengan pemilihan Umno dan persidangan Umno pada tahun 2008 marilah kita merenung sejenak erti dan dasar perjuangan dan implikasi pemilihan di bahagian Seremban ini selaras dengan tujuan penubuhan Umno iaitu parti yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.


Pada pemilihan kali ini di Bahagian Seremban Dato Ishak Ismail sekali lagi akan mempertahankan jawatannya yang telah disandang hampir 20 tahun untuk jawatan ketua Umno Bahagian Seremban dengan lawannya En Mohd Nor Awang. Beliau seperti mana yang kita maklumi telah hanya diberikan amaran oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan melibatkan 26 pertuduhan antaranya mensabotaj parti pada Pilihanraya 12 yang lalu.

Kita sebagai sebuah parti yang ingin mengembalikan kepercayaan rakyat dan memperkukuhkan parti seharusnya bersatu dan bersedia dalam apa jua cabaran dalam mendukung tujuan dan perjuangan Umno. Kita seharusnya akur dan menerima dengan hati terbuka keputusan lembaga disiplin umno yang mendapati Dato Ishak Ismail bersalah mensabotaj parti dan juga kesalahan kesalahan lain dalam PRU12 yang lalu

Adakah Umno Bahagian Seremban akan berani melakukan perubahan dan anjakan dalam pimpinan Umno Bahagian Seremban dengan keputusan jelas dari Lembaga Disiplin Umno atau pun adakah kita akan bersedia bertanggungjawab apabila dipersalahkan oleh generasi akan datang bila kita dengan terang terangan memilih orang yang telah didapati bersalah sebagai wakil kita??

Kita sudah semestinya tidak mahu menjadi pengkhianat atau pun mengkhianati parti keramat kita Umno yang mulia ini dengan membuat pilihan yang kurang bijak dan tidak tepat dan menyebabkan generasi seterusnya seperti anak anak , cucu dan seterusnya mewarisi kesilapan hari ini.

Mengkhianati Umno bukan hanya kita melihat dari sudut pilihanraya tetapi secara keseluruhan yang melibatkan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik. Jika amanah yang diberikan tidak dilaksanakan dan tiada perubahan yang signifikan dilakukan untuk orang orang Melayu khususnya ini juga dikira suatu pengkhianatan dalam melaksanakan tanggungjawab. Dari aspek pendidikan adakah peratusan pelajar pelajar Melayu yang berjaya selari dengan bukan Melayu. Kita bukan mahukan bangsa lain mundur tetapi kita mahukan bangsa kita berjaya dan maju seperti bangsa bangsa yang lain.

Dari segi pegangan ekuiti bumiputra dalam tempoh 20 tahun adakah peningkatan dalam pegangan bumiputra dalam bahagian Seremban terutamanya, peningkatan yang dikecapi adakah selaras dengan pendapatan perkapita dan isi rumah dan pegangan ekonomi orang Melayu adakah menghampiri sasaran 30% yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru@DPN 1991.

Jika kita terlalu takut untuk bersuara atau pun membuat pilihan dan perubahan ini juga dikira suatu pengkhianatan bilamana kita sudah mengetahui pilihan dan peluang yang ada. Kita seharusnya menolak sekeras kerasnya politik kotor, politik wang, gangsterisma dan sebagainya kerana ia hanya akan membuatkan parti Umno syok sendiri dan tidak akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat dalam pilihanraya 13 nanti. Sebagai ahli kita berhak bersuara dan mempunyai hak untuk berbuat demikian seperti termaktub dalam fasal 6:2:1 Bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti

Kita sudah tiada masa lagi untuk melayan ahli politik murahan dengan memburuk burukkan orang lain dalam menutupi kelemahan sendiri. Ini adalah kerana pemimpin yang asyik bercerita tentang keburukan orang lain sudah tentu tiada masa atau pun membicarakan unsur unsur yang berfaedah untuk penduduk Seremban. Kita mendukung politik yang bersih dan amanah tetapi jika sebarang usul, tuduhan dan sebagainya perlulah disertakan bukti dan bukan hanya bercakap cakap kosong.

Kita tidak boleh menghukum selagi tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah. Jangan kita tersalah pilih permimpin yang "kokoknya berderai derai tetapi ekornya" bak kata Nabil ' lu pikirlah sendiri' walaupun dalam konteks Umno Bahagian Seremban kita perlu bersama sama memikirkannya.

Semoga dengan pemilihan Umno kali ini kita berupaya menyuarakan hasrat dan kehendak sebenar akar umbi dan rakyat dan bukan hanya suara suara tertentu. Para perwakilan dari Lenggeng, Ampangan, Sikamat, Nilai sudah tentu dapat melihat dengan jelas segala aspek dan sudut tentang senario yang berlaku dan pastinya akan membuat pilihan yang bijak kerana jika Umno Seremban tidak bersuara pasti orang lain tidak akan bersuara untuk Umno Seremban semestinya.

Comments:
assalamualaikum

tukarkanlah surat2 kabar lama di seremban
dah lama dah 2
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?