Tuesday, November 25, 2008

RASUAH DAN KEAZAMAN POLITIK-CHE DET

1. Saya bersetuju dengan pendapat Dato Seri Najib Tun Razak bahawa usaha membanteras politik wang perlu keazaman politik.

2. Soalnya - keazaman politik siapa?

3. Apakah keazaman politik mereka yang ingin dicalonkan dan sudah hulur wang sogokan?

4. Apakah keazaman pemimpin UMNO untuk lihat UMNO bersih daripada politik kotor?

5. Jika pemimpin yang perlu banteras, yang mana satukah pemimpin yang perlu berazam; pemimpin cawangankah, bahagian, Majlis Kerja Tertinggi atau Presiden parti?

6. Saya akui di masa saya jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri pun sudah ada politik wang.

7. Ia amat ketara semasa saya dan Tun Ghafar Baba dicabar pada tahun 1986.

8. Walaupun saya dapat pencalonan yang terbanyak (70 peratus) tetapi saya menang dengan kelebihan undi hanya 43 sahaja. Jelas perwakilan tidak undi ikut pencalonan oleh Bahagian.

9. Untuk mengelak perwakilan dipengaruhi semasa bersidang maka perlembagaan dipinda supaya 10 undi bonus diberi apabila dicalon oleh Bahagian.

10. Malangnya ada calon yang berjaya mendapat begitu banyak pencalonan sehingga lawannya terpaksa tarik diri.

11. Lepas itu dibatalkan undi bonus dan diganti dengan kuota 30 peratus bagi jawatan Presiden dan peratusan tertentu bagi jawatan-jawatan lain.

12. Dalam pencalonan untuk pemilihan kali ini ternampak jelas yang kuota tidak berjaya membanteras politik wang.

13. Ya, memang pun semasa saya dahulu sudah ada politik wang.

14. Tetapi peristiwa sogokan secara terbuka dan besar-besaran sehingga ramai dalam masyarakat pandang jijik akan politik UMNO tidak berlaku dahulu.

15. Tidak pernah terjadi yang Presiden parti didakwa terlibat dengan politik wang melalui laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah.

16. Tidak pernah Lembaga Disiplin parti menerima sehingga 900 laporan berkenaan politik wang.

17. Tidak pernah BPR terima banyak laporan rasuah untuk pencalonan bagi jawatan dalam UMNO.

18. Membuat alasan bahawa dulu pun ada rasuah tidak menghalalkan rasuah sekarang, terutamanya rasuah terbuka dan besar-besaran.

19. Sesungguhnya hari ini di mana-mana juga rakyat bercakap berkenaan rasuah dalam pencalonan kepimpinan UMNO. Ini tidak berlaku dahulu.

20. Juga dahulu rakyat tidak pernah tolak sebahagian besar calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 seperti yang berlaku pada pilihanraya umum 2008. Jika rasuah dahulu tidak berbeza dengan sekarang kenapakah BN menang majoriti 2/3 tiap pilihanraya umum dari tahun 1982-1999?

21. Dahulu rakyat/pengundi tidak anggap UMNO sebagai parti pimpinan perasuah seperti hari ini.

22. Kerana tidak suka pada kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, BN sudah ditolak di lima buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan. Hari ini bukan Presiden sahaja yang dianggap tidak layak, tetapi seluruh kepimpinan UMNO tidak disukai dan tidak dianggap layak memimpin negara kerana pencalonan mereka adalah hasil sogokan oleh mereka. Memilih mereka bermakna memilih perasuah untuk mendirikan Kerajaan. Masyarakat yang mana yang mahu terima Kerajaan perasuah?

23. Ramalan saya ialah UMNO akan kalah teruk pada pilihanraya umum ke-13. Mendapat sokongan daripada parti (melalui rasuah) tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihanraya umum.

24. Yang memberi kemenangan kepada calon-calon UMNO dahulu ialah undi ahli bersama dengan penyokong luar, penyokong bukan UMNO. Jangan fikir hanya dengan undi ahli UMNO sahaja kemenangan akan diperolehi.

25. Dalam pilihanraya umum ke-12 ramai ahli UMNO-pun tidak undi calon BN. Dan amat ramai daripada penyokong-penyokong (bukan ahli) UMNO yang undi parti lawan. Itulah yang memberi keputusan yang buruk bagi BN dalam pilihanraya umum ke-12.

26. Ingatlah kelebihan undi bagi calon UMNO yang menang tidak sebesar dahulu. Jika hanya separuh lebih sedikit daripada kelebihan kecil ini berpaling tadah dan mengundi parti lawan UMNO akan kalah dimana dahulu ia menang.

27. Mereka yang ghairah menggunakan wang untuk dicalon oleh bahagian harus ingat jika parti UMNO kalah, kemenangan jadi pemimpin UMNO tidak bermakna. Lihat ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor dan mereka yang dicalon bertanding pilihanraya umum ke-12. Di mana mereka?

28. Jika BN kalah, Presiden UMNO tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri dan lain-lain pemimpin UMNO jika menang pun tidak akan jadi Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan lain-lain dan ketua-ketua bahagian tidak akan dapat kontrak dan lain-lain.

29. Lebih buruk lagi UMNO akan hancur. Pengasas-pengasas UMNO akan kutuk mereka yang kerana tamak telah musnahkan UMNO.

30. Orang yang terkenal menyogok wang untuk jadi pemimpin UMNO, jika mereka dipilih akan menyebabkan UMNO ditolak dalam pilihanraya umum.

31. Rakyat tahu siapa mereka walaupun sukar bagi mendapat bukti yang mereka ini adalah perasuah.

32. Perwakilan UMNO yang menerima sogokan dan memilih orang yang dikenali sebagai perasuah, harus ingat apabila mereka memilih orang ini, mereka sebenarnya mengkhianati bangsa, agama dan negara hanya kerana sedikit wang yang akan habis dibelanjakan dalam sekelip mata. Kamu dan zuriat kamu akan dikutuk oleh bangsa kamu tiap kali mereka menderita kerana kamu telah jual bangsa dan negara kamu untuk sedikit wang.

Comments:
Salam...terpanggil juga saya untuk memberi pendapat dalam hal yang diperkatakan oleh semua pihak baik dikedai kopi mahupun diperingkat yang tertinggi.Saya ingin sekadar memberi pandangan yang tidak seberapa tentang polemik yang terlalu berleluasa menjadi bahan bualan dikala ini khususnya setiap kali berlangsung pemilihan parti UMNO.

Saya sekadar ingin bertanya sepintas lalu kepada semua....terlalu bodoh dan naif sangatkah semua ahli UMNO sekarang ini berbanding ahli2 UMNO yang terdahulu? Terlalu tamak sangatkah seluruh ahli2 UMNO pada pandangan orangramai atau sekadar orang2 tertentu sahaja yang ada tika ini hinggakan tidak tahu membezakan intan dan permata dalam dalam proses memilih kepimpinan yang bakal menerajui negara?? Kenapa hanya ahli UMNO sahaja dikaitkan dengan politik wang?? Sebagai Ketua Pergerskan Pemuda Bahagian yang baru dimana saya juga perwakilan yang bakal terlibat dalam memilih barisan kepimpinan pada bulan Mac ini dan untuk makluman umum ,saya telah mengikuti secara dekat, langsung serta tidak langsung proses2 pemilihan UMNO yang terdahulu ketika dsri pertembungan Tun dgn Tgku Razali lagi...pada pemerhatian saya tiada banyak bezanya cuma kenapa kali ini terlalu bobrok tuduhan serta cemuhan dilontarkan kepada kepimpinan yang sedia ada seolah2 terlalu ramai yang seolah2 hanya mereka sahaja mempunyai sifat ciri2 kenabian tetapi ketika Tun Ghafar ditandingi juga umum sedia maklum keadaan lebih hebat rasanya dari apa yang saya lalui sehingga kini.

Dalam hal kekeluargaan UMNO, saya rasa biarlah perwakilan2 menentukan kepimpinan yang bakal dipilih dan tidak perlulah rasanya individu2 tertentu menuding jari serta memburukkkan lagi keadaan yang sedang cuba kita perbaiki melalui proses kepimpinan yang seperti biasa. Pemimpin datang dan pergi dan berilah ruang kepada Dato Seri Najib mengepalai barisan kepimpinan yang bakal dicorak oleh ahli2 UMNO sendiri pada awal tahun hadapan nanti. Harus barang diingat...UMNO adalah bukan milik individu atau keluarga sesiapa tetapi lebih merupakan sebuah parti semua orang Melayu yang memperjuangkan nasib serta tempat mengadu bangsa Melayu selama ini dan saya yakin bahawa ianya akan masih dan tetap releven dalam masa2yang mendatang kerana majoriti kepimpinan generasi muda yang akan mengambilalih dengan approach serta iltizam yang lebih membara bagi mengembalikan kemalapan keyakinan pengundi kembali kepangkuan bagi terus menyokong BN dan UMNO khususnya dalam pilihanraya yang bakal mendatang.

Yakinlah bahawa majoriti kami generasi muda tidaklah terlalu gelap mata bila dihulur dan dijanji dengan wang ringgit kerana dalam proses transformasi perubahan, kita yang seharusnya berubah mengikut keadaan dan tidak perlu kita menunggu masa bagi merubah nasib kita semua. Dalam perjuangan kita setiap pemimpin baik dibawah sehinggalah kepimpinan atasan, haruslah memilih dan meletakkan diri bagi berkorban,terkorban atau dikorbankan bagi mengapai proses membina kekuatan dan penyusunan semula UMNO bagi direlevankan mengikut kesesuaian mengikut bahasa generasi muda seterusnya bergerak dalam satu suara dan nada serta misi dan misi yang jelas dan nyata khususnya dalam mengembalikan keyakinan masyarakat kepangkuan BN/UMNO.

Yang terdahulu kita jadikan sempadan serta panduan dalam perjuangan tetapi dalam masa yang sama kita tidaklah perlu terikut2 cara lama jika pendekatan ianya berbeza mengikut zaman/keadaan pemimpin itu sendiri. Yang molek kiranya yang tua menegur secara kekeluargaan kepada yang muda dan yang muda harus menghormati nasihat dari yang lebih berusia tetapi janganlah pula hingga menidakkan kita dalam membuat keputusan mengikut kesesuaian keadaan dan zaman...tidak akan berjaya kita semua juga jika sifat dan pegangan sebegini menjadi panduan serta amalan. Bagi yang cuba mengamalkan seperti apa yang diperkatakan...saya yakin majoriti tahu bagi menolak pemimpin yang mengamalkan unsur2 sedemikian.

Hentikanlah kenyatan serta momokan yang tiada bukti dan berasas dan biarkanlah pihak2 yang berkuasa yang lebih arif dan yang telah diberikan amanah bagi memantau keadaan serta yakinkanlah bahawa amanah yang diberi kepada pemantau serta pihak berkuasa bagi melancarkan tugas2 mereka mengikut lunas2 serta undang2 juga perlembagaan UMNO yag telah sedia tersergam dan telahpun lama dibukukan sebagai rujukan dan panduan...bersatu bersetia berkhidmatlah kepada semua seperti yang telah banyak diperkatakan. Kerana pada saya semua yang berlaku dalam sekeiling kehidupan kita, sebenarnya ada kena mengena dengan diri serta tindak tanduk kita selama ini. Ada masa akan saya ulas lagi dari masa ke semasa dalam memberi pandangan sbg budak hingusan dalam politik tetapi dalam proses menjadi pemimpin yang ada jatidiri...kita harus berani dalam menyuarakan hasrat dan pendapat walaupun ada kala ianya bercanggah dengan kepimpinan atasan kerana sudah menjadi lumrah alam yang pahit itu biasanya ubat dan yang manis itu adalah biasanya mudarat. Akhir sekali sebelum mengundurkan diri dari memmberi pandangan sebagai generasi muda...pemimpin yang benar dan ikhlas, kita haruslah imarahkan keadaan dengan memberikannya sokongan manakala pemimpin yang retorik serta banyak berpolemik semata2 dan menaburkan wang ringit(jika ada kebenaran serta bukti yang sahih seperti yang didakwa) yang seharusnya kita sanggah.

Akhir kata...setiap kejadian ada hikmah disebalik ketentuan kita sebagai manusia yang lemah dan sebagai contohnya hasil keputusan pilihanraya terbaru dan ini juga kita harus menggunapakai dalam proses bermuhasabah diri bagi persiapan dalam menghadapi masa2 mendatang dan sesungguh saya yakin sesungguhnya ALLAH tidak akan menghampakan usaha serta kegigihan kita semua berubah kearah yang lebih baik dari sebelumnya dalam memperjuangkan Agama Bangsa serta Tanahair tercinta ini. Salam perjuangan dari saya dan kita renungkanlah bersama apa yang saya perkatakan ini. Jika ada kebenaran maka kita ambillah sebagai panduan tetapi jka tidak, anggaplah ianya sekadar celoteh kedaifan dari seorang anak muda yang hanya ingin melhat bangsanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa2 yang lain. Waulahualam....
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?