Thursday, November 06, 2008

Majlis Tertinggi Jangan Biarkan Umno disabotaj..

Sentral: Ketua Umno Seremban kekal jawatan

SEREMBAN: Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail, mengekalkan jawatan yang disandangnya sejak 1988 tanpa perlu menunggu mesyuarat pemilihan bahagian itu, Ahad ini apabila pencabarnya, Mohd Nor Awang yang juga Naib Ketua Bahagian itu disahkan tidak layak bertanding.

Ibu Pejabat Umno turut mengesahkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng yang juga ahli jawatankuasa bahagian itu, Mustafa Salim, tidak boleh bertanding jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Mohd Nor, 47 dan Mustafa, 50, tidak layak bertanding selepas kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Wilayah/20081106130304/Article/index_html

Keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi Umno seperti kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor adalah begitu mengelirukan kami diperingkat akar umbi Umno terutamanya diperingkat Bahagian dan Cawangan.

Mereka memutuskan yang calon calon yang belum disabitkan bersalah sebagai tidak layak bertanding tetapi  calon yang diputuskan oleh lembaga disiplin sebagai bersalah dan melanggar perlembagaan dan tataetika Umno dibolehkan bertanding dan mengekalkan jawatan Ketua Bahagian. dalam kenyataannya Majlis Tertinggi Umno memutuskan yang En Mohd Nor Awang dan Yb Mustapha Salim tidak layak bertanding pada pemilihan Umno Bahagian Seremban kerana dikenakan pertuduhan dan telah didakwa dimahkamah.

1-Adakah mereka telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah??
2-Adakah Majlis tertinggi membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa dan tidak berpandukan perlembagaan Umno??
3-Adakah kesalahan mensabotaj parti dan pilihanraya adalah kesalahan yang kecil di mata Umno??
4-Adakah calon yang dikenakan 26 pertuduhan dan disabitkan bersalah oleh Lembaga disipli Umno sendiri layak bertanding.
5-Adakah Lembaga disiplin Umno telah menjalankan siasatan berkenaan tuduhan rasuah dan politik wang Yb Mustapha Salim dan Saudara Mat Nor Awang.
 
Kami mahukan penjelasan yang logik dan praktikal kerana tiada tercatat didalam perlembagaan Umno yang mengatakan calon yang menghadapi pertuduhan dan belum disabitkan bersalah tidak layak bertanding, tetapi secara jelas dicatatkan didalam perlembagaan seperti Fasal 6.1.4 & 6.1.5 berkenaan menyokong calon calon dan juga menyokong kerja kerja parti dan mematuhi disiplin parti didalam Tata Etika ahli Umno juga tercatat perkara yang sama tetapi apa yang dilakukan atau pun keputusan yang dilakukan majlis tertinggi adalah sebaliknya.Perkara 3.1.1, 3.1.2, 3.1.5 & 5.4 secara jelas telah dinyatakan tentang etika dan peraturan yang perlu dipatuhi. Ini jelas bertentangan bila ahli yang tidak mematuhi perlembagaan dan tataetika Umno hanya diberikan amaran dan tiada tindakan keras yang diambil.
 
Kami menyokong penuh usaha usaha untuk pengukuhan Umno dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti tetapi jika terlalu banyak perkara yang mengelirukan sudah pasti usaha pengukuhan semula ini akan menjadi sukar. Juga seperti yang tercatat diakhbar Utusan bertarikh 6 Mei 2001(rujuk dibawah)Dato Ishak Ismail dan Ishak Malek dibebaskan tuduhan, adakah mereka digantung, dipecat atau pun tidak dibenarkan bertanding?? Tetapi senario yang hampir sama pada 4 November 2008 dan belum lagi dibuktikan bersalah tetapi calon calon telah pun menerima hukuman yang keras dari Umno. Sedangkan pada 23 October 2008 Dato Ishak yang disabitkan atas 26 pertuduhan hanya diberikan amaran. Kami yakin yang Umno sebuah parti yang matang dan berpegang teguh kepada perlembagaan dan undang undang sudah semestinya tidak akan melakukan sesuatu keputusan yang bertentangan dengan prinsip prinsip dan kepercayaan Umno dan orang Islam.
 
Perbuatan politik wang dan sabotaj adalah kesalahan yang serius seperti yang diwar-warkan cuma nampaknya perlaksanaannya kali ini tidak selaras apa yang diperkatakan dan apa yang dilaksanakan. Kami menyokong penuh siasatan yang menyeluruh dijalankan keatas saudara Mat Nor Awang dan Yb Mustapha dan jika didapati bersalah mereka haruslah menerima hukuman yang setimpal, tetapi dalam senario ini seharusnya mereka tidak terlebih dahulu dihukum selagi tidak disabitkan bersalah, memang sewajarnya mereka mendapat pertimbangan yang adil dan saksama kerana kemungkinan wujud juga unsur sabotaj dan gejala politik yang tidak sihat berlaku.
 
Berdasarkan siasatan oleh lembaga disiplin dan keputusan yang dibuat kami tidak mahu perbuatan sabotaj yang berlaku kepada Barisan Nasional pada PRU12 berulang pula pada pemilihan Umno tahun 2008. Bila dilihat dari sudut ini sudah semestinya keraguan dan kebimbangan kami di Bahagian Seremban mempunyai asas dan sebab yang kukuh kerana kami melihat perkara ini berdasarkan keputusan Lembaga Disiplin Umno sendiri. Kami tidak menolak kemungkinan yang Umno juga dikhianati seperti mana yang berlaku kepada Barisan Nasional justeru itu kami meminta pertimbangan dan siasatan yang sewajarnya dilakukan terlebih dahulu.
 
Kami ahli ahli Umno diperingkat akar umbi amat yakin dan pasti yang Majlis Tertinggi tidak mengamalkan budaya pilih kasih dengan menghukum ahli ahli tertentu sahaja dan tidak tetap dalam perlaksanaan disiplin parti dan ini adalah kerana Umno sebuah parti yang matang dan tegas dalam melaksanakan undang undang dan disiplin parti.
PEMUDA TAMAN PAROI JAYA

------------
utusan Malaysia 06 Mei 2001

Tiga ketua bahagian dibatal -- Didapati bersalah terbabit dalam politik wang semasa pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR 5 Mei - Tiga ketua UMNO bahagian dibatalkan kemenangan mereka kerana didapati bersalah terbabit dalam politik wang pada pemilihan bahagian parti itu baru-baru ini.

Mereka ialah Ketua Bahagian Gopeng, Mustafa Kamal Mohd. Nawi; Ketua Bahagian Muar, Datuk Abdullah Omar dan Ketua Bahagian Baling, Datuk Zainol Md. Isa.

Perlucutan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta dan kekosongan jawatan akan dipangku oleh timbalan ketua Bahagian masing-masing.

Tiga tertuduh lain yang turut didapati bersalah ialah calon Timbalan Ketua Bahagian Bagan Serai, Zaki Din; Ketua Penerangan Bahagian Selayang, Rahmat Abdullah dan Ketua Penerangan Bahagian Gopeng, Mohamad Annuar Baharuddin.

Semua yang terlibat juga terlucut jawatan serta-merta.

Ini merupakan keputusan pertama yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO daripada 66 aduan yang telah didengar oleh lima tribunal di bawah lembaga itu.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen berkata, daripada 15 kes yang telah dibuat keputusan itu, sembilan kes didapati tidak bersalah.

Katanya, mereka yang didapati bersalah berhak merayu kepada Majlis Tertinggi (MT) menurut Fasal 20.6 perlembagaan parti.

``Peruntukan perlembagaan parti tidak menetapkan tempoh masa kepada mereka untuk membuat rayuan kepada Majlis Tertinggi.

``Bagaimanapun, semua yang terbabit perlu membuat rayuan secepat mungkin,'' katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, antara kesalahan politik wang yang dilakukan ialah seperti membawa anggota UMNO melawat keluar negera dan mengadakan lawatan secara rombongan.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan kesalahan enam anggota itu satu persatu.

Mustafa Kamal, Zainol, Mohamad Annuar, Rahmad dan Abdullah digantung hak untuk memilih, dipilih dan dilantik ke sebarang jawatan di semua peringkat sehingga 2007.

Zaki pula digantung hak itu selama dua kali pemilihan parti peringkat cawangan, bahagian dan MT dari tarikh hukuman.

Sementara mereka yang didapati tidak bersalah ialah Ketua Bahagian Lipis, Datuk Omar Othman; Ketua Pemuda Bahagian Pontian, Hasni Mohamad; Ahli Jawatankuasa Bahagian Pontian, Shahril Ismail dan Ketua Bahagian Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zain.

Lima anggota lain yang turut didapati tidak bersalah ialah Ketua Bahagian Lumut, Datuk Mohd. Wajidi Ishak; Ahli Cawangan Bahagian Seremban, Ishak Abdul Malek; Ketua Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail; Ketua Pemuda Bahagian Selayang, Abdul Shukor Idrus dan Ketua Cawangan Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad.

Mohd. Wajidi menewaskan pencabarnya, Dr. Zambry Abdul Kadir yang juga Ketua Pemuda UMNO Lumut.

Pada sidang akhbar itu juga, Rithaudeen memberitahu setakat ini Lembaga Disiplin telah menerima sebanyak 338 aduan.

Daripada jumlah itu, katanya, 32 kes masih dalam perbicaraan, 66 kes telah dibicarakan dan 44 kes telah dirujuk ke jawatankuasa pemilihan parti.

Sebanyak 42 kes pula telah dikategorikan sebagai tidak jelas, lapan kes ditolak dan sebanyak 176 kes masih belum disaring.

Beliau menambah daripada analisis didapati hanya 40 peratus aduan yang diterima adalah di bawah bidang kuasa lembaga, manakala, selebihnya adalah di bawah Jawatankuasa Pemilihan Badan Perhubungan UMNO negeri.

``Ini ada kaitan dengan mesyuarat agung cawangan dan bahagian yang mana bidang kuasanya tidak jatuh kepada Lembaga Disiplin,'' katanya.

Pada pemilihan bahagian Gopeng baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin tewas enam undi kepada Mustafa Kamal. Abdul Aziz memperoleh 129 undi manakala Mustafa Kamal 135 undi.

Abdullah yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC Holdings (M) Berhad mengetepikan penyandang Ketua Bahagian Muar, Abdul Malik Munip dengan majoriti 45 undi.

Perebutan Ketua UMNO Bahagian Baling pula menyaksikan Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kupang meraih 262 undi menewaskan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman yang memperoleh 155 undi.

Sementara itu, seorang ahli Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, semua keputusan yang dibuat hari ini adalah muktamad.

Ditanya jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu terutama terhadap individu yang merasakan dirinya tidak bersalah, beliau berkata:

``Itu bukan persoalan melainkan jika dia ada dakwaan lain dengan dikemukakan sekali bukti yang kukuh, bolehlah dia membuat rayuan,'' katanya.

Mengikut perlembagaan parti, kata beliau, kekosongan jawatan ketua bahagian akan dipangku oleh timbalannya.

``Jika rayuan ketua bahagian yang didapati bersalah itu diterima oleh MT, maka automatik dia boleh memegang semula jawatannya itu,'' katanya.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI

 


Comments:
Salam sejahtera semua,

Tuan,
Banyak sudah diperkatakan tentang politik wang dalam umno. Saya sebagai seorang ahli umno Bahagian Besut Terengganu, ingin mencadangkan begini:
1 Kita hahalkan sahaja politik wang dalam umno.Sapa yang berani tagang banyak duit maka dialah presiden umno dan seterusnya dan seterusnya. Politik wang dlm umno bukan perkara baru. Saya tidak nampak benda HARAM ini boleh dihapuskan kini dan akan datang. MT dan Lembaga Disiplin pun bukan boleh buat apa sangat. Mungkin dalam ahli MT sendiri tidak terlepas drpd drpd benda HARAM itu.Kalau ya, adakah mereka akan menghukum diri sendiri?Syor Dr Rais Yatim patut diberi pertimbangan serius.

2 Saya syorkan juga supaya umno Baru Baru(ganti umno baru sekarang)ditubuhkan menggantikan umno sekarang. umno yg ada hari ini terlalu kotor dan perlu dibubarkan. Mustahil untuk membersihkannya. umno Baru Baru ini perlu membariskan pemimpin baru yang belum ada rekod jahat seperti sebahagian besar pemimpin umno kini.Kita nakkan perubahan dan kita perlu lakukannya biarpun pahit kpd sebahagian pemimpin umno kini.

3 Bila dikatakan pemimpin umno kini jahat, biar apa cara pun, bolehkah kita katakan itu sebagai fitnah atau sengaja diada-adakan oleh mereka yg berkepentingan? Mungkin kita boleh fikirkan sama apa yg saya katakan, begini-
YB kita seorang sahaja, tetapi beribu mata rakyatnya yg memerhatikan dia seorang sahaja. Setiap pergerakannya diperhatikan rakyat. Setiap katanya diperhatikan oleh rakyat. Setiap perbuatannya diperhatikan oleh rakyat. Setiap kroninya dikenali rakyat. Setiap hartanya diketahui rakyat. Setiap rakaat solatnya diperhatikan rakyat............

Maka bila dikatakan keburukan YB kita ,bagi saya sangat sukar untuk dinafikan sepenuhnya(biarpun tak boleh dibawa ke mahkamah).Tq
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?