Tuesday, March 25, 2008

Umno tonggak orang Melayu: Muhyiddin

Oleh Jamaludin Husin
MUAR: Ahli Umno perlu meneruskan prinsip perjuangan parti untuk menyatupadukan orang Melayu sekali gus mengekalkan kedaulatan bangsa, agama dan negara yang menjadi matlamat Umno sejak ditubuhkan 62 tahun lalu. Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Umno adalah tonggak orang Melayu yang berjuang menentang pembentukan Malayan Union oleh kerajaan British pada 1946 atas nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) ketika itu. Malah, katanya, Umno yang menjadi tonggak pemerintahan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 bersama rakan parti komponen Perikatan ketika itu dan Barisan Nasional (BN) hingga kini perlu kekal sebagai wadah kesinambungan warisan bangsa Melayu.
"Orang Melayu jelas mendapat pembelaan melalui perjuangan Umno lebih-lebih lagi selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sekitar 1970-an selain mengekalkan hak kaum lain di negara ini. “Tidak timbul soal perpecahan dalam Umno kerana perselisihan pendapat yang berlaku silih berganti semata-mata bertujuan mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan ahli dan parti,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang di pekarangan Sekolah Agama Durian Condong, kira-kira 70 kilometer dari sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat dan Adun Jorak, Dr Shahrudin Md Salleh dan Ketua Wanita Pagoh, Noriah Mahat. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, dalam pemerintahan kerajaan, Umno bukan saja memperjuangkan nasib orang Melayu, malah membela nasib semua kaum di negara ini. Beliau juga menyifatkan kekalahan calon BN pada pilihan raya umum lalu sebagai ujian terhadap kesetiaan rakyat terutama orang Melayu yang sayangkan negara dan bangsanya daripada tergadai dengan penjajahan bentuk baru. "Perubahan sikap sebahagian orang Melayu yang menyokong calon parti pembangkang pada pilihan raya lalu membangkitkan kesedaran pemimpin untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat akar umbi.
"Umum kini mengetahui pembangkang memenangi banyak kerusi sehingga menafikan hak dua pertiga BN di Parlimen sekali gus menarik perhatian wakil rakyat BN supaya bekerja lebih keras untuk menawan semula hati pengundi,” katanya. Sehubungan itu, beliau mengingatkan wakil rakyat BN termasuk dirinya sendiri supaya selalu turun padang bagi mengetahui masalah rakyat di samping bertindak cepat menyelesaikan masalah mereka.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?