Thursday, March 06, 2008

Tok Mat-Pembangkang tidak diperlu

Rakyat diminta ketepi rayuan parti lawan wujud pemeriksaan berimbang SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan pembangkang untuk pemeriksaan berimbang (check and balance) kerana segala projek pembangunan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat, bukan disebabkan ada pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, kerajaan negeri juga mempunyai pelbagai dasar lengkap sebagai panduan pembangunan yang turut dipamerkan kepada rakyat untuk pandangan dan maklum balas sebelum ia dilaksanakan dengan pemantauan dilakukan wakil rakyat BN sendiri.
"Apa yang nak diperiksa dan diseimbangkan, kerajaan bentangkan pelan struktur kepada orang ramai untuk bagi pandangan sebelum membuat dasar. Pelaksanaan dasar itu kerja kerajaan dan wakil rakyat BN akan periksa pelaksanaannya... jadi, apa yang nak `check and balance' lagi. "Kita bukan bangunkan negeri sebab ada pembangkang dalam dewan (DUN)... kita dah ada pelan induk sehingga 2020, dasar pelaburan, pelancongan, pelajaran dan sosial. Jadi, tak payah ada pembangkang kerana mereka hanya akan cakap pasal longkang atau apa-apa isu yang amat remeh-temeh," katanya. Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Sungai Salak, Taman Seremban Jaya dan menyampaikan bantuan kepada setinggan Kampung Bahagia, di Senawang, dekat sini, semalam. Beliau meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan rayuan pembangkang supaya memilih calon mereka kononnya untuk mewujudkan pemeriksaan berimbang, sedangkan kerajaan tidak pernah gagal melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat. "Berapa banyak pembangunan sudah dibuat kerajaan dalam tempoh empat tahun ini... buat jalan sekitar Seremban saja sudah membabitkan belanja RM1 bilion. Macam-macam lagi kita buat... Jalan Kuala Pilah dan jalan baru dari Kajang ke Seremban," katanya. Mengenai keyakinan DAP untuk mempertahankan DUN Lobak dan Bahau, selain merampas beberapa DUN lagi di kawasan pengundi majoriti Cina di negeri ini seperti Bukit Kepayang dan Mambau, Mohamad berkata, biarlah pembangkang dengan keyakinan mereka. "DAP yakin dapat tiga (kerusi), Pas dapat empat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat lima... apa kita ni bodoh sangat sehingga dia (pembangkang) boleh menang begitu banyak kerusi, tapi tak apalah kerana kita juga yakin dan saya sudah nasihatkan jentera BN supaya jangan terlebih yakin.
"Bagi saya, rakyat dah tahu prestasi BN... di Seremban, tak ada lagi isu. Pada 2004, DAP menang Lobak kerana ada isu kerajaan nak pindahkan pasar besar dan perkuburan Cina, tetapi kita putuskan kedua-duanya tidak dipindahkan, sebaliknya membelanjakan pula RM7 juta untuk naikkan taraf pasar besar," katanya. Beliau juga membidas DAP kerana hanya pandai berjanji, tetapi tidak ditunaikan termasuk pada 2004 apabila penyandang kerusi DUN Lobak daripada parti pembangkang itu, Loke Siew Fook berjanji membeli bas untuk mewujudkan pusat khidmat bergerak, tetapi masih belum dilaksanakan sehingga kini. "Saya ada keratan akhbar mengenai janji Loke itu... mana basnya, mana pusat khidmat bergerak yang dijanjikannya, sedangkan BN dah buat macam-macam," katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?