Tuesday, March 18, 2008

Tok Mat lantik panel bebas buat 'post mortem'

Mohamad lantik panel bebas buat 'post mortem'

KUALA PILAH: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan melantik badan bebas untuk melakukan 'post mortem' prestasi merudum pilihan raya umum lalu hingga sekadar mampu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata badan bebas itu akan membabitkan beberapa organisasi dan pusat pengajian tinggi bagi menjalankan kaji selidik terutama rakyat di akar umbi. "Selain penilaian daripada parti komponen BN, ia turut mengkaji pendekatan kita mendengar dan merumuskan prestasi menyeluruh daripada pelbagai pihak.
"Ini juga antara langkah kita mendengar suara rakyat mengenai kelemahan kita, sekali gus memperbaikinya untuk memenangi semula hati mereka dan merampas kawasan yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang," katanya. Mohamad berkata demikian selepas majlis pelantikan dan mengangkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri di Istana Seri Menanti, dekat sini semalam. Pada pilihan raya umum lalu, BN negeri hanya menang 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala selebihnya dikuasai pakatan pembangkang dengan DAP menang 10 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pas masing-masing empat dan satu kerusi.
Mohamad berkata, beliau juga akan turun padang bagi mendengar dan menyelesaikan permasalahan rakyat dengan sekurang-kurangnya turun dua kali setahun di setiap DUN diwakili BN. "Bagi kawasan yang dimenangi pembangkang iaitu kebanyakan di kawasan bandar, kita akan menjadikannya anak angkat, selain memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan membantu dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?