Saturday, March 22, 2008

Serah dua portfolio kepada Exco baru

SEREMBAN: “Dulu saya pegang banyak portfolio dan ia menyukarkan,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berhubung tindakan beliau menyerahkan dua portfolio yang dipegangnya sebelum ini kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru dilantik.Beliau yang memegang enam portfolio sebelum ini menyerahkan tiga jawatan penting iaitu Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi serta Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan masing-masing kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serting, Shamsulkahar Mohd Deli dan Adun Juasseh, Mohd Radzi Kail.Sementara portfolio Pembangunan Luar Bandar diserahkan kepada Adun Labu, Datuk Hasim Rusdi dengan menggabungkan Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan.Menurut Mohamad, walaupun sehari sebelum mengumumkan nama Exco, beliau ada menyatakan pendirian untuk memegang Exco Pelajaran, tetapi selepas menimbang sebaik mungkin, beliau melepaskan jawatan itu kepada Shamsulkahar yang mempunyai pengalaman luas kerana pernah bertugas di Jabatan Pelajaran sebelum ini.
“Memang susah kalau saya terlalu membabitkan diri dalam operasi. Jadi, saya ambil keputusan untuk keluar daripada situasi itu dan bertindak sebagai pemerhati serta memantau. Dengan cara ini saya akan dapat lihat sejauh mana pencapaian anggota Exco selain boleh memberi teguran serta pandangan,” katanya.
Mohamad berkata, beliau bagaimanapun, akan mengekalkan tiga daripada empat portfolio iaitu Kewangan dan Pelaburan; Tanah dan Sumber Asli; Keselamatan dan Penerangan serta Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu memandangkan semua portfolio itu penting untuk beliau terbabit secara langsung.Manakala, beliau turut mempengerusikan satu lagi portfolio baru iaitu Keselamatan dan Penerangan.Dalam pada itu, katanya, tindakan mewujudkan portfolio Adat Istiadat Melayu yang digabungkan bersama protfolio Agama Islam adalah perlu memandangkan Negeri Sembilan mempunyai adat tersendiri.“Saya wujudkan portfolio Adat Istiadat Melayu kerana ia perlu ditekankan berikutan Negeri Sembilan adalah negeri beradat selain mempunyai Undang yang empat dan seharusnya mengukuhkan semua adat berkenaan,” katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?