Friday, March 21, 2008

Rasulullah berakhlak sempurna

MUSLIM yang soleh selalu menampilkan budi pekerti yang baik, perangai lembut, bercakap dengan sopan, halus dan ramah. Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang harus dijadikan pautan dan idola. Anas r.a sahabat serta pembantu setia Rasulullah mengatakan baginda manusia paling baik akhlaknya.Anas menceritakan: “Aku membantu Rasulullah selama sepuluh tahun. Selama itu pula tak pernah sekalipun meluncur daripada mulut baginda kepadaku kata ‘ah’ dan baginda tidak pernah mengatakan untuk sesuatu yang aku kerjakan ‘mengapa engkau lakukan hal itu?’ dan tidak pula untuk sesuatu yang aku tidak kerjakan ‘mengapa kamu tidak melakukannya?” (Hadis riwayat Muttafaq alaih).Rasulullah menjauhi perbuatan dan ucapan yang tidak baik. Abdullah bin Amru bin Ash r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya yang termasuk insan pilihan antara kamu sekalian adalah yang terbaik akhlaknya.” (Hadis riwayat Muttafaq alaih).Dalam hadis lain Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan perbuatan keji itu sedikit pun bukan daripada Islam dan sesungguhnya sebaik-baik keislaman seseorang adalah yang baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Thabrani, Ahmad dan Abu Ya’la).
Semua sahabat Rasulullah yang diredai Allah selalu tekun mendengar dan mengikuti bimbingan akhlak yang mulia daripada baginda.
Mereka menyaksikan sendiri ketinggian akhlak baginda. Mereka dengan penuh kesedaran dan semangat, berbuat sesuai dengan ajaran baginda, meneladani baginda, sehingga ketika itu tegaklah satu masyarakat Islam yang indah, adil yang tidak akan dilupakan dalam sejarah manusia.Anas r.a berkata: “Nabi Muhammad penuh dengan sifat belas kasih, tidak ada seorang pun mendatangi baginda kecuali baginda menjanjikan dan memenuhi janjinya jika berjanji dengan seseorang meskipun baginda sedang mendirikan solat. Pernah datang seorang Arab Badui kepada baginda dan menarik baju baginda lalu berkata: “Sesungguhnya aku tetap akan melaksanakan hajatku (sekarang juga), aku takut lupa. Maka Nabi Muhammad berdiri bersama sehingga menyelesaikan hajatnya kemudian baginda menghadap kiblat dan meneruskan solat.” (Hadis riwayat Bukhari).Justeru, tidak kelihatan pada diri Rasulullah sikap keberatan sedikit pun untuk mendengar orang Arab itu dan menyelesaikan hajatnya sedangkan baginda ketika itu sedang mendirikan solat.Juga tidaklah sempit dadanya mendapat perlakuan kasar lelaki berkenaan yang menarik bajunya dan menunggu menyelesaikan hajatnya sebelum solat.Baginda amat sabar dan lembut dalam membangunkan masyarakat, apatah lagi mendidik kaum muslimin melalui perbuatan, bagaimana seharusnya seorang Muslim membantu sesama saudaranya.Akhlak memperoleh kedudukan tinggi dalam Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang lebih berat timbangannya bagi seorang Muslim di hari kiamat daripada keluhuran akhlaknya. Dan Allah membenci orang yang keji dalam ucapan ataupun perbuatannya.” (Hadis riwayat Tabrani).Rasulullah sangat menekankan kepada akhlak. Baginda melakukan semua ini dengan pelbagai cara baik dengan lisan mahupun perbuatan sehingga baginda berjaya meresapkan ajaran murni baginda ke lubuk hati sahabat dan pengikutnya iaitu mensucikan jiwa dan memperindahkan akhlak mereka.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?