Friday, March 28, 2008

Peraturan halang amalan politik wang dikemas kini 28-03-2008 04:31:37 PM

MELAKA: Garis panduan mengenai peraturan menghalang amalan politik wang pada mesyuarat parti yang akan bermula Julai ini sedang dikemas kini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau berkata langkah berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Kuala Lumpur, Khamis lalu. "Peraturan ini sedang dikemas kini oleh Biro Perlembagaan dan Peraturan Umno yang dipengerusikan (Naib Presiden Umno) Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan dijangka siap sebelum mesyuarat peringkat cawangan bermula," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Zakat Melaka di sini, Jumaat. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan bahawa Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 16 hingga 20 Disember ini yang akan menyaksikan pemilihan anggota MT. Mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan dari 17 Julai hingga 24 Ogos manakala bahagian pula dari 9 Oktober hingga 9 November. Mohd Ali berkata langkah meneruskan rancangan untuk mengadakan pemilihan anggota MT pada tahun ini membuktikan sikap terbuka pucuk pimpinan parti. Keputusan itu juga menunjukkan pucuk pimpinan mengambil kira pandangan akar umbi yang mahu pemilihan parti diadakan tahun ini juga walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lepas, tidak memberangsangkan bagi parti itu, katanya. Mohd Ali yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Latihan Umno berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada 3 April ini, bagi mendapatkan maklumat balas peringkat akar umbi kesan daripada pilihan raya umum lepas. BERNAMA

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?