Friday, March 14, 2008

Nasib rakyat terus dibela

Oleh Hussain Said
TERAJUI NEGERI: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menyampaikan watikah pelantikan kepada Mohamad di Istana Besar Seri Menanti, semalam.
Mohamad janji utamakan projek pembangunan Negeri Sembilan KUALA PILAH: Datuk Seri Mohamad Hasan, 52, yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua, semalam, berikrar akan memastikan kebajikan rakyat terus terbela dan pembangunan negeri terus rancak walaupun kerajaan negeri sekadar menang majoriti mudah dalam pilihan raya umum lalu. Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, jam 11.30 pagi di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti dekat sini, turut berjanji bekerja keras untuk memenangi semula hati rakyat. "Sesungguhnya, tanggungjawab yang dipikul kali ini semakin mencabar dengan adunan dan komposisi wakil rakyat yang pelbagai. Sudah tentu, wujud perbezaan fahaman, pegangan dan prinsip perjuangan.
"Pada hemat patik, sikap kematangan dan kewarasan diri haruslah mengatasi segala-galanya kerana impian membela nasib rakyat sambil meneruskan program dan projek pembangunan yang direncanakan bagi memajukan negeri ke paras tertinggi menjadi matlamat utama," katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih dan taat setia kepada Tuanku Ja'afar selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan selaku Menteri Besar yang turut dihadiri Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin, Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, isteri Mohamad, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumudin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd Nor. Mohamad yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya umum Sabtu lalu terus diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerajui negeri ini buat penggal kedua berturut-turut.
BN membentuk kerajaan negeri selepas menang dengan majoriti mudah 21 daripada 36 kerusi DUN, selebihnya dikuasai pakatan pembangkang, dengan DAP memenangi 10 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas masing-masing empat dan satu kerusi. Keadaan itu menyebabkan buat kali pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak akan mempunyai wakil daripada Gerakan selepas kedua-dua calon parti itu tewas pada pilihan raya lalu. Kuota 10 Exco sebelum ini diisi enam wakil Umno, MCA (dua) serta masing-masing seorang dari Gerakan dan MIC.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?