Sunday, March 16, 2008
Mukhriz berdepan tindakan Pemuda
TEGAS: Hishammuddin bersama Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai, (dua dari kiri), Ketua Pemuda MIC, Vigneswaren Sanasee (kiri) dan Ketua Pemuda Gerakan, Mah Siew Keong ketika sidang media Pemuda BN, di ibu negara semalam.
Exco akan bermesyuarat tentukan hukumanKUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir yang menulis surat mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletak jawatan selepas mengadakan mesyuarat pergerakan itu yang dijangka minggu ini. Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang menyifatkan tindakan Mukhriz itu tidak bertanggungjawab, berkata perbuatan itu bukan perkara baru kerana sebelum ini beliau juga pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan memberikan pandangan peribadi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.
"Pemuda akan membincangkannya secara terperinci untuk mengambil tindakan ke atas Mukhriz yang juga Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Umno. "Dalam konteks Exco Pemuda, beliau (Mukhriz) katakan ia surat peribadi dan tidak seharusnya dikeluarkan (disebarkan) dalam internet. Saya sendiri tidak tahu siapa yang sebarkan. "Tetapi saya anggap ia tidak bertanggungjawab dan kita ambil tindakan ikut saluran sedia ada. Ini akan diputuskan dalam mesyuarat Exco Pemuda selepas kabinet diumumkan," katanya pada sidang media Pemuda Barisan Nasional (BN) di Hotel Mandarin Oriental, di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan, Mukhriz mengesahkan menulis surat bertarikh 12 Mac lalu itu kepada Abdullah kerana khuatir kepercayaan rakyat khususnya Orang Melayu terhadap Umno dan BN akan luput sama sekali. Salinan surat itu turut diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ali Rustam serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Antara kandungan surat itu berbunyi 'atas sifat sayangkan bangsa dan negara, saya merayu Datuk Seri supaya bertanggungjawab ke atas kekalahan ini. Hanya peletakan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Parti Umno oleh Datuk Seri sendiri dapat memulihkan Umno, BN dan negara dilakukan dengan jayanya'. Abdullah yang memberi maklum balas desakan Mukhriz itu menyerahkan kepada Hishammuddin selaku Ketua Pemuda untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Hishammuddin berkata, selaku Ketua Pemuda dan Pengerusi Pemuda BN, beliau tidak pernah lari daripada tanggungjawab bahkan menjalankan tugas tanpa bimbang kepada apa juga keadaan. Beliau tidak akan mengizinkan sebarang cubaan menggugat kepemimpinan Perdana Menteri serta timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.