Thursday, March 27, 2008
Mayat bayi perempuan dijumpai dalam rumah kosong
SEREMBAN: Mayat seorang bayi perempuan dijumpai dalam sebuah rumah kosong di Taman Saga, Lobak, di sini, hari ini. Mayat bayi perempuan itu dijumpai kira-kira jam 10 pagi oleh seorang pekerja Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS), Aladin Satadin, 52, ketika dia sedang membaiki paip air rosak di rumah berhampiran. Aladin yang ditemui di tempat kejadian berkata, mayat bayi perempuan yang dibalut dengan kain sarung dan sudah berbau itu ditemui di dalam sebuah beg di ruang tamu rumah itu.
“Ketika hendak membaiki paip di rumah sebelah, saya ternampak sebuah beg di rumah kosong yang terletak bersebelahan dan mengesyaki sesuatu, lalu saya membukanya dan terkejut mendapati ada bungkusan di dalamnya yang berbau busuk. “Selepas membukanya mendapati mayat seorang bayi perempuan dan saya kemudian menghubungi pihak polis mengenai kejadian itu,” katanya. Jurucakap polis pula berkata, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dipercayai meninggal dunia belum sampai seminggu, berdasarkan keadaan fizikalnya.
Bagaimanapun, katanya siasatan sedang dijalankan dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat. - Bernama