Monday, March 24, 2008

Laman blog dekati belia

Oleh Rosli Abdul Jalil

DAPAT SAMBUTAN: Ismail Sabri disambut oleh penyokongnya ketika tiba pada program Mesra Bersama Rakyat di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, semalam.
Internet jadi medium popular dekati generasi muda BERA: Kementerian Belia dan Sukan akan mewujudkan laman blog sendiri sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan golongan belia di negara ini, kata Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaacob. Beliau berkata, blog kini menjadi medium maklumat yang semakin popular di kalangan generasi belia dan kewujudannya tidak boleh dipandang ringan kerana peranannya didapati cukup berkesan. "Jika kita terus memperlekehkan kewujudan blog, saya bimbang suatu hari nanti ia akan mengambil alih peranan akhbar arus perdana," katanya selepas menghadiri majlis meraikan pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda di sini semalam.
Beliau berkata, blog yang akan diwujudkan itu nanti akan disesuaikan dengan kehendak belia iaitu berbentuk ringan dan santai. Ismail Sabri juga berkata, kementerian akan meneliti program membabitkan belia yang dirangka kerajaan bagi mencari kaedah terbaik memperkasakan golongan belia di negara ini. Beliau berkata, perkara pertama yang beliau akan lakukan ialah mengadakan pertemuan dengan persatuan belia untuk mendapatkan maklum balas mengenai masalah yang dihadapi mereka.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?