Monday, March 03, 2008

Khairy mahu saman pembangkang

SEREMBAN 2 Mac - Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan menyaman calon DAP Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 kerana mendakwa secara terang-terangan kononnya beliau telah menghina kaum India dalam satu ceramah di Kuala Lumpur.
Kata Khairy, beliau tidak boleh membiarkan kenyataan tidak bertanggungjawab pembangkang itu berleluasa kerana ia begitu serius dan menyerang peribadi secara keterlaluan.
''Saya tidak boleh biarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu daripada berleluasa kerana ini perkara serius. Kalau menyerang peribadi saya berkaitan perkara lain, tak apalah.
''Tetapi apabila mereka menyerang peribadi saya dengan mengatakan saya menghina kaum lain atau kaum India, saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas majlis bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Rantau dekat sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Rantau serta kira-kira 1,000 pengundi yang majoritinya kaum India.
Kelmarin, sebuah akhbar memetik Gobind yang juga anak tokoh pembangkang, Karpal Singh sebagai mendakwa Khairy pernah mengecam kumpulan penyokong Hindraf.
Tuduhan itu dilemparkan ketika beliau berceramah untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Brickfields, Kuala Lumpur.
Malah, Gobind turut mengutuk dan memfitnah Khairy sebagai dalang yang mentadbir negara ini kerana status beliau sebagai menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Rembau berkata, pembangkang telah tersilap tafsir ucapannya semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu dan perkara itu telah mereka edarkan dalam bentuk cakera padat video (VCD).
''Apa yang saya sentuh ialah perhimpunan Bersih, bukan kritikan terhadap perhimpunan masyarakat India. Apabila mereka telah memberi gambaran yang salah seolah-olah saya menghina kaum India, ia satu fitnah yang cukup besar," katanya.
Khairy menjelaskan, masyarakat India telah menyatakan sokongan terhadap pencalonannya di Parlimen Rembau, malahan akan mengundi BN pada pilihan raya 8 Mac ini.
"Jadi, tidak timbul soal masyarakat India telah dihina.
''Saya beritahu mereka bahawa saya akan menjadi wakil rakyat untuk semua kaum, Melayu, India dan Cina. Kita perlu bersama-sama membantu membangunkan Malaysia," kata Khairy.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?