Wednesday, March 12, 2008

‘Ini bukan masanya tuding jari’

KUALA LUMPUR: “Ini bukan masanya untuk tuding jari,” kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjawab pertanyaan wartawan sama ada prestasi merudum Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 Sabtu lalu, ada kaitan dengan protes atau penolakan rakyat kepada mana-mana pihak.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persidangan dan Pameran ICT di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.Katanya, walaupun BN tidak mencatat kejayaan cemerlang dalam PRU 12, pucuk pimpinan komponen parti terbesar itu akan terus bersatu.“Kita perlu mempertahankan institusi ini kerana ia lebih penting berbanding mana-mana individu. Saya bagi pihak Pemuda BN dan Umno berasa semua cukup berdisiplin untuk menghadapi situasi ini.
“Apa yang penting, BN berjaya mendapat mandat bagi membentuk kerajaan walaupun tidak memperoleh majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.
Hishammuddin berkata, beliau bersama pucuk pimpinan BN lain akan berbincang dan membuat siasatan terperinci bagi mencari punca kemerosotan parti komponen BN dalam pilihan raya kali ini sebelum mengambil langkah radikal untuk memulihkan kepercayaan rakyat.“Kita akur dengan keputusan rakyat yang inginkan perubahan. Oleh itu, kita akan buat muhasabah diri bagi mencari kesilapan dan kelemahan hingga menyebabkan prestasi BN sedikit hambar kali ini.“Saya amat yakin, jika kita ikhlas membuat penilaian diri, rakyat pasti akan kembali menyokong BN pada pilihan raya akan datang,” katanya

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?