Wednesday, March 05, 2008

Barisan Nasional Jaga Disiplin Anda

Jentera BN dinasihat elak ketegangan

REMBAU: Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin mengingatkan jentera BN berwaspada dengan tindakan pembangkang yang mungkin cuba mencetuskan ketegangan dalam tempoh beberapa hari baki kempen pilihan raya. “Saya dapat maklumat pembangkang cuba cetuskan keadaan tegang dengan menghantar berpuluh-puluh bas membawa jentera kempen mereka ke beberapa kawasan, termasuk Rembau. Jadi, saya minta jentera Pemuda BN berwaspada dan elakkan kekecohan...jangan tambah ketegangan. "Kita juga minta pihak berkuasa keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau kerana pembangkang dalam keadaan amat terdesak untuk memancing undi dalam tempoh empat hari sebelum pembuangan undi," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis Karnival Sukan Parlimen Rembau dan gelanggang sukan multisport Rembau, di sini semalam oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said, beliau mengingatkan pengundi tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak. Calon BN Parlimen Rembau itu berkata situasi terdesak pembangkang juga kelihatan di Kelantan apabila Pas kini memainkan semula isu syurga dan neraka serta mengkafirkan Umno. "Saya baru balik dari Kelantan dan terdengar ada sogokan wang ringgit oleh pembangkang supaya rakyat undi mereka.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula terus gunakan strategi fitnah dan kecam peribadi calon BN. Saya minta pengundi waspada dengan taktik pembangkang pada saat akhir kempen," katanya. Beliau juga meminta pemimpin Umno yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kali ini serta penyokong mereka jangan kecewa, sebaliknya terus bersama jentera BN dan tidak mengorbankan masa depan negara. Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Rembau turut meminta pemimpin pembangkang yang menuduh pemimpin Umno mengamalkan dasar memilih ahli keluarga sendiri bertanding pilihan raya supaya cermin diri sendiri. "Lim Kit Siang tuduh begitu, tapi bagaimana dia sendiri dan anaknya, Lim Guan Eng. Begitu juga Anwar Ibrahim dan isterinya yang kini mencalonkan pula anak mereka," katanya.
Sementara itu, Azalina meminta pengundi muda tidak mensia-siakan peluang menggunakan hak mengundi BN yang jelas terbukti membantu belia dalam segenap aspek. "Banyak bantuan dan program disalurkan kerajaan kepada belia. Saya juga minta pengundi atas pagar berfikir dan melihat semula sejarah 50 tahun pembangunan negara, apa yang sudah dilakukan kerajaan BN dalam tempoh itu," katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?