Tuesday, February 19, 2008

TOK MAT DI MANA?

Mohamad mahu terus kekal di N. Sembilan
SEREMBAN 18 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau lebih suka untuk terus berkhidmat di negeri ini, tambahan pula masih banyak pembangunan perlu dibuat untuk memajukan Negeri Sembilan.
Mohamad bagaimanapun, tidak pula memilih jika dihantar ke mana sekali pun kerana beliau boleh bekerja di mana-mana yang diarahkan.
‘‘Saya mahu melihat negeri ini maju dan masih banyak lagi yang perlu saya lakukan di sini. Saya rasa eloklah saya duduk di Negeri Sembilan,” katanya dalam ucapan pada majlis bersama warga pendidik Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di Klana Resort di sini hari ini.
Tambah Mohamad, beliau sanggup berkorban untuk berkhidmat di Negeri Sembilan, malahan pada tahun 2004 ketika Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau balik (bertanding), beliau bersetuju berbuat demikian.
‘‘Saya katakan kepada Perdana Menteri, saya akan menjadikan kerajaan Negeri Sembilan, sebuah kerajaan yang bersih dan itu telah saya lakukan walaupun saya tidak pernah bekerja dengan kerajaan sebelum ini,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata Mohamad, beliau tidak suka membuang masa, malahan hanya menumpukan pada kerja kerana itu adalah prinsip beliau dalam memastikan kerja yang bersistematik.
‘‘Saya akan menyemak semua fail selepas balik ke rumah kerana sebelah siang dan petangnya, saya mempunyai pelbagai program rasmi dan parti.
‘‘Saya perlu tumpukan kerja untuk rakyat. Saya berkorban masa dan lazimnya, saya akan menyemak fail dari pukul 12 tengah malam hingga 2.45 pagi setiap hari.
‘‘Itu adalah cara saya bekerja. Saya mahu melihat negeri ini maju, saya sayangkan Negeri Sembilan. Kadang kala isteri saya pun hairan kerana kerja lewat malam. Saya katakan, tak apalah... sudah kerja saya.
‘‘Saya memang buat kerja, saya tidak suka ke hadapan. Cara saya bekerja lain. Saya tanamkan budaya kerja dalam diri,” kata beliau.
Beliau dilahirkan di Kampung Kundur Hilir, Rembau, Negeri Sembilan dan bersekolah di Rantau dan Sekolah Menengah Tengku Durah, Seremban sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1977.
Mohamad telah memulakan kerjayanya sebagai Pelatih Bank Negara Malaysia dan jawatan terakhir Mohamad di sektor swasta ialah sebagai Pengarah Urusan Cycle & Carriage (1994-2004) di Kuala Lumpur sebelum bertanding di kerusi DUN Rantau pada tahun 2004.

Comments:
Tadi lepas solat Maghrib di sebuah surau di DUN Paroi, seorang pakcik bertanya. Sini siapa bertanding ? Saya tanya pakcik tadi, UMNO ke BN ? Pakcik tadi kata kenapa pula ? Saya kata sini UMNO lawan BN ? Pakcik tadi kata ya ke ? Saya kata ye, kan banyak yang gantung sekarang ni bendera BN dan UMNO, dulu pilihanraya mana ada bendera UMNO. Saya bergurau saja, tapi pakcik tadi betul-betul percaya. Saya pun kata, tak adalah, sini BN lawan PAS.

Tak perlulah gantung bendera UMNO banyak sangat, memang keliru orang. Dan boleh dijadikan bahan kempen oleh parti pembangkang.
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?