Wednesday, February 06, 2008

KJ di Parlimen Rembau

KJ dicalonkan bertanding di Rembau06-02-2008 05:32:37 PM
SEREMBAN: Cakap-cakap bahawa Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan bertanding untuk kerusi parlimen di negeri ini semakin menjadi kenyataan apabila namanya telahpun dicalonkan untuk proses tapisan keselamatan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Khairy merupakan salah seorang dari lima calon yang namanya telah dipersetujui oleh mesyuarat bahagian Rembau baru-baru ini untuk bertanding di kawasan berkenaan.
"Khairy, saya fikirkan sebagai Ketua Pemuda Rembau tidak ada apa sangat tetapi kita setuju kerana peranannya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri Rabu.
Sebelum ini, status Khairy tidak begitu jelas kerana ada orang meramalkan beliau akan bertanding di Selangor.
Wakil rakyat Rembau sekarang, Datuk Firdaus Muhammad Rom Harun turut termasuk dalam senarai lima calon itu.
Kata Mohamad, walaupun bahagian itu telah mencalonkan Khairy, keputusan muktakhir terletak pada pemimpin parti iaitu bapa mertua Khairy sendiri, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Enam bahagian yang lain seperti Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Rasah, Teluk Kemang dan Jempol masing-masing sudah menyerahkan senarai calon masing-masing kecuali Umno bahagian Seremban.
"Saya diberitahu bahawa mereka hanya akan menyerahkan senarai calon mereka sebaik sahaja pengumuman pembubaran parlimen dibuat," katanya.
Beliau berkata, sebaiknya, senarai itu diserahkan lebih awal untuk menjalani proses tapisan keselamatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis.
Sementara itu, dalam isu lain, Mohamad memberitahu, sebuah plaza tol baru akan dibina berhampiran Labu untuk memudahkan pengguna Lebuhraya Utara Selatan memasuki bandar Seremban tanpa kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu pagi.
Plaza tol ini akan membolehkan pengguna yang mahu ke Lobak dan Temiang, terus ke destinasi mereka tanpa melalui pusat bandar Seremban, katanya. BERNAMA

Comments:
Sekali lagi, isu Malaysia sebagai sebuah
negara Islam dimainkan semula oleh Umno/BN dalam keadaan mereka hilang punca, kesan dari tekanan dan kehendak rakyat yang ingin melihat kembali
praktikaliti Islam sebagai cara hidup yang sebenar.
Ini nyata sekali terutamanya apabila Islam Hadhari yang ditaja oleh Umno
tidak dapat mengisi kekosongan dan kelompangan yang diperlukan oleh umat
Islam di Malaysia.
Pengerusi Lajnah Penerangan, Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hassan Mohamood,
berkata tindakan mengimejkan Malaysia dengan imej-imej Islam Hadhari dan lain-lainnya adalah hanya propaganda politik semata-mata. Ia seumpama cuba untuk menutup sesuatu kepincangan yang wujud.

"Ini kerana topik perbahasan sebenar isu negara Islam semenjak zaman Negara
Islam Madinah adalah berkenaan pelaksanaan hukum-hakam syariat Islam, walhal yang cuba ditonjolkan di sini hanya dari sudut penamaan dan penjenamaan negara Islam dan dalam masa yang sama cuba memperlihatkan bahawa pelaksanaan Syariah Islam bukan agenda utama sesebuah Negara Islam," tegas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh
akhbar Berita Harian (18 Julai 2007) hasil Seminar Peranan Negara Islam
dalam Dunia Global anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang
menyamatarafkan Malaysia dengan Madinah.

Katanya, dalam masa yang sama pelaksanaan perundangan dan prinsip Islam digambarkan sebagai tidak sesuai untuk orang bukan Islam, sedangkan di
sebalik sejarah Negara Islam Madinah, orang Islam dan bukan Islam disatukan
di bawah piagam Madinah yang sumbernya adalah nas Al-Quran dan As-Sunnah.

"Sedangkan Islam adalah rujukan utama di Madinah dan Madinah pada masa itu
lebih majmuk daripada Malaysia yang mana penduduk Madinah pada peringkat
awal terdiri sekitar 4000 penduduk pelbagai kaum dan pelbagai kabilah
manakala umat Islam pada ketika itu hanya sekitar 1000 orang sahaja," jelas
beliau.

Bagaimanapun, tegas Hassan, di sebalik kepelbagaian kaum di Malaysia, ia
cuba untuk disatukan di bawah perlembagaan dan perundangan yang diambil daripada British, iaitu dasar pecah dan perintah yang telah menggarapkan kuasa berpaksikan persepakatan kaum yang akhirnya membentuk suara majoriti
di dalam negara.

Katanya, dari sudut undang-undang contohnya, menggugurkan sebahagian hak-hak Islam seperti hanya tidak membenarkan pendaftaran murtad sebagaimana kes Azalina Jailani, walhal murtad itu sendiri tidak dianggap sebagai satu kesalahan serius dalam hukum-hukum Islam.

Beliau turut menjelaskan bahawa sistem ekonomi, iaitu sistem percukaian
Barat yang zalim seperti cukai tanah kediaman, rumah kediaman dan lain-lain
jelas bercanggah dengan sistem kutipan di dalam negara Islam.

Justeru, katanya Islam datang menghapuskan cukai yang zalim dan digantikan dengan zakat, kharaj dan seumpamanya, tetapi negara kita meneruskan dasar penjajahan. Yang telah menggantikan sistem Islam ini dengan sistem percukaian yang cukup zalim melalui angkatan bersenjata.

"Apabila kerajaan sekarang meneruskan dasar penjajah Lord Raed ini, akibatnya ramai golongan miskin Islam dan bukan Islam terabai dan dipinggirkan sejauh mungkin. Justeru sistem cukai moden
ini tidak mewajibkan kerajaan memperuntukkan jumlah yang mencukupi untuk diagihkan secara lansung kepada orang miskin.

Ia berbeza dengan sistem Islam, di mana zakat Wajib diambil daripada orang kaya
Islam untuk diagihkan kepada orang miskin Islam manakala jizyah diambil
daripada orang kaya bukan Islam untuk diagihkan kepada orang miskin bukan
Islam, bukan untuk dibuat istana Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau
projek-projek yang hakikatnya menguntungkan segelintir sahaja," tegas
beliau.

Hassan turut mengatakan bahawa dalam melindungi hak-hak asasi rakyat seperti
hak asasi wanita, hak keadilan bersuara dan sebagainya, pelaksanaan di
Malaysia adalah jauh bercanggah dengan negara.

Jelas beliau, sebagai contoh wanita yang bertugas sebagai guru di dalam
kursus dipaksa untuk menandatangani perjanjian untuk tidak mengandung. Jika
didapati mengandung selepas menandatangani perjanjian tersebut, mereka akan dipecat.

"Sebenarnya, jika hendak disenaraikan perbezaan antara Malaysia dan Madinah
terlalu banyak. Persoalan sekarang ialah, untuk apakah kerajaan Barisan
Nasional yang diketuai Umno cuba untuk mengimejkan Malaysia dengan imej-imej
Islam, sedangkan perbahasan sebenar negara Islam Madinah di zaman Nabi s.a.w. ialah sebagai paksi atau syarat penting perlaksanaan hukum-hakam Islam,"
tegas beliau.

Jelasnya, ia dilihat lebih mementingkan perbahasan dari sudut apakah imej
negara Islam dan dalam masa yang sama seolah-olah cuba memperlihatkan
perlaksanaan syariat Islam bukan agenda utama dan penting di dalam negara
Islam.

Justeru, Dewan Ulama PAS Pusat sedia untuk berdialog dan bermuzakarah secara
baik dan ilmiah dengan badan-badan agama berautoriti daripada BN dan
kerajaan dalam isu "Kepentingan Dan Hubungkait Antara Penegakan Negara dan
Perlaksanaan Hukum Syariat" yang menjuruskan sesebuah negara itu layak
bergelar negara Islam sebagaimana negara Madinah.

Dilihat dari mata kasar, tegas beliau , Umno memang tidak akan mampu untuk
melaksanakan apa yang dituntut oleh sebuah negara Islam yang sebenar. Ini
kerana, jika UMNO melaksanakan tuntutan negara Islam, maka ia akan
berhadapan dengan tentangan dan kecaman di peringkat parti-parti komponen
BN, amnya dan dalaman Umno itu sendiri khususnya. Inilah kesan daripada
caturan licik penjajah apabila menyerahkan kuasa kepada Umno melalui
perjanjian kemerdekaan.

Kesimpulannya, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat merasa kesal justeru Umno
menggunakan Islam untuk kepentingan politik murahan guna bagi meraih undi di
dalam pilihan raya tidak lama lagi.

"Ini bukan tuduhan, tetapi dibuktikan oleh banyak fakta, antara terkini
ialah sikap 'double standard' Perdana Menteri sendiri yang cuba mengelirukan
rakyat dengan mengimejkan bahawa beliau adalah tokoh Islam, walhal beliau
sendiri mengeluarkan kenyataan yang amat bercanggah dengan Islam dan
undang-undang Syariah di Malaysia tatkala berkata: "Keluar Islam bukan
sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Ia pernah berlaku sebelum ini. Untuk
sesiapa yang tidak mahu beragama Islam lagi, apa yang boleh kita buat?"

Justeru, beliau menyeru ahli agama yang berada di dalam Umno supaya
berdialog dan bermuzakarah dengan Dewan Ulama PAS Pusat bagi merungkaikan
persoalan negara Islam.
 
Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?