Sunday, February 24, 2008

KJ BUDAK NAKAL UMNO

Tugas saya rosakkan parti pembangkang - Khairy
REMBAU 23 Feb. - ''Memang saya budak nakal dalam UMNO dan tugas saya dalam pilihan raya kali ini memang untuk merosakkan dan menimbulkan masalah kepada pembangkang dan jika saya tidak berbuat demikian bererti saya tidak buat kerja".
Itulah yang dinyatakan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dilabelkan oleh pembangkang sebagai 'budak nakal' dalam UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Timbalan Pengerusi Pemuda BN itu, beliau memang ditugaskan untuk merosakkan parti pembangkang yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini dengan mencetuskan huru-hara kepada parti itu.
''Pembangkang akan melakukan apa sahaja dalam memastikan kemenangan mereka sehingga sanggup mengunakan isu peribadi dalam meraih sokongan pengundi memandangkan mereka ketandusan idea untuk dijaja,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis tahlil dan kesyukuran di kampungnya di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy membidas sikap Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang sanggup berdoa untuk menurunkan musibah kepada pengundi BN yang akan membuang undi di negeri Kelantan.
Tambahnya, ini jelas membuktikan mesej Pas yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang jumud dan berunsurkan iri hati sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita politik sempit mereka.
''Jika benar apa yang yang dikatakan oleh Datuk Husam, saya fikir rakyat sudah tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan dengan menolak Pas yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik mereka.
''Saya percaya ini merupakan satu niat jahat yang tidak berperikemanusiaan, walaupun saya budak nakal dalam BN, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian kepada parti pembangkang," kata beliau.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?