Tuesday, February 26, 2008

KJ anggap calon lawan mahu jadi hero politik

SEREMBAN: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sedih kerana lawannya di kerusi Parlimen Rembau bertanding bukan untuk membela penduduk, sebaliknya mahu menjadi hero politik atau hanya mahu dikenali ramai. Khairy berkata tindakan Badrul Hisham Shaharin, 30, Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikrar menentangnya walau di mana beliau bertanding, membuktikan lawan tidak ikhlas menjadi wakil rakyat. “Saya sedih kerana proses demokrasi adalah untuk rakyat, bukan untuk tujuan lain. Lebih baik ganti orang lain,” katanya kepada Bernama selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Ulu Lalang, Rantau dekat sini yang turut dihadiri penyandang kerusi DUN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
Khairy, 32, juga berkata beliau tidak akan melayani serangan peribadi yang ditujukan pihak lawan kepadanya. Mengakui perjumpaan dengan pengundi sebagai pengalaman baru yang dipelajarinya, Khairy berkata beliau akan terus bekerja keras walaupun kawasan Rembau dianggap kerusi selamat BN. “Saya tak ikut pembangkang hidup (berkempen) malam saja,” katanya dan menambah sebagai calon baru, beliau meminta tunjuk ajar pemimpin lebih berpengalaman daripada penghulu kampung sehingga wakil rakyat.
“Kena tegur sebab saya calon muda, masih banyak kena belajar,” katanya. Khairy juga menasihatkan pembangkang bermuhasabah diri atas kegagalan mereka memberikan tentangan kepada BN di beberapa kawasan Parlimen dan DUN pada hari penamaan calon. Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai permulaan baik untuk BN, beliau berkata, ia membuktikan pembangkang langsung tidak mempunyai pengikut di sesetengah kawasan apabila tiada yang muncul untuk menjadi calon mereka. “Kalau saya, saya akan bermuhasabah diri atas kegagalan besar ini," katanya dan menambah momentum kemenangan tanpa bertanding beberapa calon BN diharap dapat diteruskan dan diterjemahkan pada proses pengundian 8 Mac ini.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?