Tuesday, February 05, 2008

Khairy kesal pembangkang Sabah guna isu kenegerian

Khairy kesal pembangkang Sabah guna isu kenegerian
05-02-2008 05:43:19 PM
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kesal dengan cubaan parti pembangkang untuk memainkan isu kenegerian yang boleh menjejaskan perpaduan antara Sabah dan Persekutuan Malaysia menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau menyifatkan usaha memancing undi menggunakan isu sebegitu sebagai amat tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan kestabilan negara.

"Saya boleh takrifkan taktik pembangkang sebagai amat tidak bertanggungjawab kerana apa yang dibangkitkan oleh pembangkang di Sabah adalah istilah kenegerian, semangat kenegerian Sabah yang boleh menjejaskan hubungan antara Semenanjung, antara Persekutuan dan juga Sabah.

"Apa yang dibangkitkan oleh pembangkang di Sabah, umpamanya Sabah untuk rakyat Sabah dan royalti minyak untuk Sabah sahaja dan bukan dikongsi dengan seluruh negara. Ini boleh meniupkan semangat kenegerian yang satu ketika dulu adalah satu ancaman keselamatan bagi negara kita.

"Rakyat perlu tahu bahawa ini adalah satu usaha yang boleh menjejaskan keamanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Forum Halal Sedunia 2008 di sini hari ini.

Khairy berkata pembangkang di Sabah terdiri daripada calon bebas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan golongan yang bersimpati dengan kedua-dua parti itu, terutamanya di kawasan bandar.

"Semua pembangkang di Sabah ini sebenarnya parti dari Semenanjung tetapi mereka menggunakan jentera rakyat Sabah, menggunakan rakyat Sabah untuk menabur pelbagai fitnah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggungjawab Pemuda Umno adalah untuk memastikan pengundi muda mendapat fakta, keadaan dan perkembangan yang sebenar mengenai apa yang berlaku.

"Antara tugas kita adalah untuk menyampaikan maklumat seperti koridor pembangunan, apa yang kerajaan sedang buat untuk bangunkan negara kepada pengundi muda di setiap kawasan," katanya.

Beliau berkata maklumat itu akan disampaikan melalui ceramah, kunjungan rumah ke rumah, risalah dan juga saluran Internet dalam tempoh dua hingga tiga minggu yang akan datang.

Khairy berkata beliau percaya pengundi muda khususnya di kawasan bandar menggunakan Internet dan kehadiran Barisan Nasional (BN) serta Umno di alam siber itu penting bagi menyampaikan maklumat.

"Kita sudah mula di Bilik Gerakan Induk Pemuda BN untuk menembusi alam siber dan juga untuk menggerakkan jentera penerangan kita," katanya.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan persediaan jentera Pemuda Umno secara keseluruhan setakat ini dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi. BERNAMA

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?