Sunday, January 27, 2008

KJ "Pemuda Umno diminta beri tumpuan"

Anggota Pemuda Umno diminta beri tumpuan mantapkan jentera pilihan raya26-01-2008 06:00:41 PM
JASIN: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan para pemimpin pergerakan itu supaya tidak melobi menjadi calon pada pilihan raya umum ke-12 sebaliknya gigih berusaha memantapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya.
Katanya Pemuda Umno di setiap peringkat mestilah memberi perhatian sepenuhnya kepada tindakan memantapkan jentera masing-masing termasuk menubuhkan bilik gerakan, yang menuntut banyak masa dan tenaga mereka.
"Kalau pemimpin atau ahli pergerakan pemuda itu disenarai pendek sebagai calon maka itu adalah sebab kebolehan dan kepimpinan mereka sepanjang mereka memegang jawatan dalam pergerakan Pemuda dan bukannya kerana mereka dapat melobi di saatsaat terakhir," katanya kepada pemberita selepas melancarkan gerak gempur Pemuda Umno Jasin di sini, hari ini.
Khairy berkata lobi-melobi di saat-saat akhir, bukan sahaja membazirkan masa tetapi tidak akan dapat mengubah sama ada mereka berjaya atau tidak menjadi calon pilihan raya.
"Yang akan menjamin kejayaan kita adalah sama ada kita diiktiraf sebagai seorang yang telah memberi sumbangan secara konsisten selama dua tiga tahun yang lepas," katanya.
Katanya setakat ini tiada laporan mengenai perbuatan melobi itu kerana pergerakan pemuda yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berdisiplin.
Beliau juga mengingatkan anggota dan pemimpin pergerakan itu supaya memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
"Jangan ada yang merajuk, tidak mahu buka bilik gerakan, ada yang boikot dan sebagainya, walaupun mereka tidak dipilih, walaupun calon pilihan mereka tidak dipilih maka calon itu calon BN. Calon itu untuk semua dan kita kena sokong calon BN itu," katanya.
Mengenai tindakan parti pembangkang yang giat membuat tuduhan terhadap kerajaan BN bagi meraih sokongan pengundi, Khairy berkata parti pembangkang hanya pandai melontarkan tuduhan tetapi mereka tidak tahu untuk mengemukakan kaedah penyelesaian bagi membantu negara.
"Barisan Nasional memberi banyak jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi negara tetapi pembangkang tidak ada cadangan penyelesaian, mereka boleh cadang hendak tubuh kerajaan kebajikan tetapi bagaimana caranya tidak pula dinyatakan," katanya.
Beliau berkata anggota pergerakan Pemuda Umno akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelbagai isu termasuk kenaikan harga barangan supaya mereka tidak terpedaya dengan dakyah parti pembangkang. BERNAMA

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?