Wednesday, November 14, 2007

Pak Lah-Tidak sembunyi tarikh pilihan raya

KUCHING 13 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau bukan seorang yang suka menyembunyikan sesuatu terutamanya berhubung tarikh pilihan raya umum.
“Saya tidak suka menyembunyikan maklumat,” kata Perdana Menteri setelah didesak sama ada kedatangan beliau ke negeri ini adalah untuk membincangkan perkara-perkara berhubung pilihan raya umum nanti.
Soalan itu tercetus ekoran pertemuan beliau secara tertutup dengan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di Miri malam tadi.
“Saya tidak ada bincang tentang pilihan raya umum..., tidak ada berbincang mengenai pembahagian kerusi,” kata beliau ketika ditanya sama ada mesyuarat tersebut turut membincangkan pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini untuk parti-parti komponen BN.
Abdullah berkata, pertemuan semalam hanyalah penjelasan berhubung perkara-perkara yang membabitkan pembangunan terutamanya berhubung koridor pembangunan Sarawak.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.
Mengenai koridor pembangunan di Sarawak, beliau berkata, apabila dilancarkan kelak, ia tidak akan menyebabkan projek-projek lain yang disusun dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk Sarawak ditinggalkan begitu sahaja.
Ditanya mengenai Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Abdullah berkata, sebarang keputusan yang tercetus daripada Permudah untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap sesuatu projek akan dimaklumkan kepada setiap kerajaan negeri.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?