Sunday, November 11, 2007

Kikis stigma orang Umno boleh dibeli: Tok Mat

Kikis stigma orang Umno boleh dibeli: MB
SEREMBAN: Ahli Umno dinasihat menjadikan perhimpunan agung parti yang bermula hari ini sebagai wadah memupuk iltizam baru mengikis tanggapan negatif sesetengah pihak yang merujuk orang Umno sebagai individu yang ada tanda harga atau boleh dibeli sehingga menularnya politik wang.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT), berkata amalan politik wang boleh dibanteras jika setiap ahli tidak meletakkan tanda harga pada perjuangan, sebaliknya ikhlas membela nasib bangsa, agama dan negara."Jangan letak tanda harga pada perjuangan kerana memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara memang tak ada nilainya. Bila masuk parti keramat ini, kita perlu ikhlas berjuang... bukan atas sebab lain," katanya selepas jamuan Aidilfitri Umno Cawangan Kampung Bemban, dekat sini semalam.Beliau mengulas peringatan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak supaya perwakilan tidak menjadikan ia pentas melobi dan menonjolkan diri sebagai calon pilihan raya umum.Sebelum ini, Najib turut mengumumkan Umno mengkaji semula peraturan pemilihan untuk mencari kaedah lebih berkesan menangani masalah politik wang yang akan dilaksanakan ketika pemilihan parti akan datang.Ia susulan amaran Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail kepada pemimpin Umno negeri dan bahagian parti supaya tidak cuba mengumpan hadiah kepada ahli bagi menentukan perwakilan untuk pemilihan Umno.Pemilihan parti yang ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum akan datang dijangka diadakan tahun depan. Sementara itu, Mohamad berharap perhimpunan agung kali ini digunakan sebaik-baiknya, terutama oleh pembahas usul untuk merumuskan segala usaha parti serta kejayaan dan sumbangan Umno selama ini."Selama ini, Umno banyak berusaha dan hasilnya membawa kejayaan, tetapi ramai yang tidak peduli. Jadikan perhimpunan agung ini sebagai pentas kita mengimbau kembali usaha serta kejayaan itu," katanya."Jangan ambil kesempatan (sebagai pembahas) menonjolkan diri, sebaliknya mesej ucapan perlu memberi tumpuan kepada kepentingan parti, pilihan raya umum serta keutuhan dan perpaduan ahli," katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?