Sunday, November 25, 2007

Khairy: Dedah siasatan Lojing, Air Kelantan

TANAH MERAH: Pergerakan Pemuda Umno hari ini meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendedahkan sejauh mana hasil siasatan badan itu terhadap kegiatan penerokaan haram tanah tinggi Lojing dan dakwaan penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan Kelantan, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Naib Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata rakyat kini tertunggu-tunggu hasil siasatan BPR terhadap kedua-dua isu itu sama ada telah selesai atau sebaliknya.
"Rakyat nak tahu sejauh mana hasil siasatan mereka dan BPR perlulah dedahkan sejauh mana siasatan itu. BPR jangan takut dedahkan apa hasil siasatan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Cabaran Tanah Merah di Puncak Kinabalu 2 dan Gempur Pemuda di Kem Desa Gemilang, Lata Hujan, Gual Ipoh di sini.
Penerokaan haram di Lojing dekat Cameron Highlands yang menyaksikan beribu hektar tanah mengalami kemusnahan alam sekitar didedahkan Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah awal tahun ini.
Isu berkaitan AKSB timbul Ogos lalu apabila dilaporkan BPR sedang menyiasat syarikat itu berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur sistem bekalan air di Kelantan berharga RM600 juta.
BPR dilapor menghantar sepasukan pegawainya ke Kelantan bagi menyiasat perkara itu dan mendapati ada asas untuk siasatan terperinci dilakukan.
Sekiranya siasatan terhadap kedua-dua isu itu belum lagi selesai, Khairy berkata BPR perlu menyegerakan siasatan untuk keadilan semua pihak.
Ketika berucap, Khairy membidas PAS kerana menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dalam proses mengendalikan pilihan raya sehingga pemimpin parti itu terlibat dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 10 Nov lepas.
"Jika tuduhan itu dilempar kepada SPR, apakah kemenangan PAS di Kelantan adalah angkara SPR juga?" soalnya. BERNAMA

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?