Tuesday, September 04, 2007

Khidmat bas percuma di Seremban

SEREMBAN: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma kepada orang ramai meliputi seluruh bandar ini serta Port Dickson dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas serta masalah kekurangan tempat letak kereta.Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkhidmatan bas percuma itu adalah antara usaha kerajaan negeri membantu penduduk di sekitar bandar ini menikmati kemudahan pengangkutan awam dengan lebih baik tanpa perlu bersusah payah mengharungi kesesakan atau mencari tempat letak kereta.Katanya, cadangan itu sudah diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini dan kini dalam peringkat pengkajian kos termasuk mengkaji jenis bas yang sesuai untuk digunakan.“Secara dasarnya kita sudah setuju untuk mengadakan perkhidmatan ini. Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan ini secara percuma dan kosnya akan ditanggung kerajaan negeri yang akan membayar kepada pengusaha bas terbabit,” katanya.
Beliau berkata, apabila siap nanti, orang ramai akan dapat menggunakan perkhidmatan berkenaan bermula daripada hentian teksi dan bas Terminal One dan mengelilingi bandar Seremban melalui Muzium Negeri, Terminal 2, Jalan Lee Sam, Pejabat Pos Besar, Jabatan Kerajaan, Masjid Negeri, Stesen Keretapi sebelum kembali semula ke Terminal One.
Manakala di bandar Port Dickson pula melalui pusat bandar sehingga Batu 13 melalui kawasan hotel dan beberapa kawasan pelancongan termasuk Muzium Angkatan Tentera.“Secara tidak langsung, cadangan ini adalah sebagai satu usaha untuk mempergiatkan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis pelancaran Kad Fast Pass dan Perkembangan Operasi Cityliner Negeri Sembilan, di sini semalam.Hadir sama Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings, Datuk Mohd Nadzmi Salleh dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.Dalam pada itu, Mohamad turut berpuas hati dengan perkembangan sistem pengangkutan awam di negeri ini yang dulunya dilihat ‘amat mengecewakan’.Katanya, selepas berbincang dengan pihak Nadicorp kira-kira dua tahun lalu dalam usaha untuk mengangani masalah pengangkutan awam di negeri ini, akhirnya harapan untuk melihat bandar Seremban, Port Dickson dan Nilai mempunyai satu sistem pengangkutan awam terbaik, tercapai.“Untuk mewujudkan satu perkhidmatan pengangkutan awam terbaik memerlukan modal yang besar. Oleh itu, kerajaan negeri tidak mampu mengeluarkan modal untuk mewujudkan sebuah sistem pengangkutan awam tanpa bantuan syarikat swasta yang berpengalaman.“Oleh itu, saya yakin Nadicorp Holdings di bawah Konsortium Transnasional Berhad (KTB) boleh memberikan satu sistem perkhidmatan terbaik di negeri ini, “ katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?