Sunday, August 19, 2007

Serah pada pihak berkuasa

Pemuda Umno, MCA sependapat isu Meng Chee diselesai ikut undang-undangMELAKA: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai sependapat bahawa isu kes Wee Meng Chee yang menghina lagu Negaraku dan mencipta satu lagi lagu bertajuk Kawanku/My Friends yang dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam dan orang Melayu, harus diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.Mereka menganggap isu berkenaan perlu diselesaikan secara baik serta tidak digembar-gemburkan kerana ia adalah satu isu sensitif dan menyentuh sensitiviti kaum.
"Saya baru baca laporan dalam akhbar Berita Harian mengenainya...tapi saya tak tahu sama ada lagu ini lagu baru atau lama (merujuk kepada lagu My Friends). Jadi saya tak tahu bila ia dicipta, sama ada selepas dia (Meng Chee) minta maaf atau sebelum. "Tapi, saya difahamkan lagu itu dicipta sebelum lagu Negaraku. Niatnya saya tak tahu. Tapi yang penting sebagai Pemuda BN, kita percaya bahawa proses undang-undang perlu dijalankan terhadap Meng Chee," kata Khairy ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-44, di sini, semalam. Khairy berkata, lebih baik isu berkenaan diserahkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengkaji sama ada ada lirik lagu Negaraku dan My Friends melanggar undang-undang serta bentuk tindakan yang boleh diambil terhadapnya. "Bagi peniaga yang menjual cakera padat (CD) lagu ini, saya tidak pasti dari segi undang-undang, tapi kalau terbukti mereka mengedar benda yang menyalahi undang-undang, sewajarnya tindakan undang-undang diambil," katanya.Sementara itu, Liow berkata, lagu My Friends dikatakan sudah lama dicipta oleh Meng Wee, iaitu sebelum menghasilkan lagu Negarakuku dalam irama RAP yang diputuskan Kabinet, Rabu lalu agar tindakan undang-undang diambil."Jadi, kita rasa pada masa sekarang, semua pihak janganlah memberi tekanan lagi kepada Meng Chee kerana Peguam Negara juga sedang mengkaji kes ini."Tiada siapapun boleh mengatasi undang-undang, tapi yang penting semua pihak jangan lagi memberi tekanan kepada Meng Chee. Kita selesaikan isu ini secara baik."Kita tak mahu ia dijadikan isu agama, isu bangsa dan isu kaum kerana Malaysia sebuah negara pelbagai kaum. Ia boleh jadi satu isu perkauman lebih besar jika disensasikan dan tidak diuruskan dengan baik," katanya.Liow juga menganggap Meng Chee sebagai belia berusia 24 tahun yang tidak tahu latar belakang dan sensitiviti kaum di negara ini serta apa yang disuarakannya menerusi lirik lagu hanya mewakili dirinya saja.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?