Wednesday, August 01, 2007

Pemuda desak siasat Raja Petra

Kerajaan, polis diminta wujud unit pantau blogKUALA LUMPUR: Semua 13 Ketua Pemuda Umno negeri mendesak polis menjalankan siasatan terperinci terhadap pengendali laman blog Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin mengikut peruntukan undang-undang kerana menyiarkan komen sensitif, termasuk berkaitan Yang di-Pertuan Agong. Jurucakap mereka, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, berkata siasatan boleh dibuat mengikut peruntukan undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memastikan hukuman setimpal dijatuhkan atas setiap kesalahan dilakukan.Sambil menyifatkan Raja Petra sebagai pengkhianat negara, mereka mendesak supaya kerajaan dan polis menubuhkan unit siber polis untuk memantau kegiatan dunia siber di negara ini dan menjejaki dalang di sebalik laman blog, terutama yang mendapat tajaan dari luar negara.“Kita mahu kerajaan ambil tindakan segera terhadap Raja Petra dan pengkhianat lain mengikut peruntukan sedia ada, termasuk mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).“Perbuatan mereka ibarat baling batu sembunyi tangan dan bersikap bukan anak jantan dan pengecut kerana menyiarkan isu sensitif seperti peristiwa 13 Mei serta cuba mensabotaj dan mencerca kepemimpinan negara,” katanya pada sidang media di pejabat Pergerakan Pemuda Umno, di sini, semalam.Mohamad Norza berkata, Pemuda Umno mahukan undang-undang lebih menyeluruh digubal untuk memastikan pemilik dan pengendali laman web dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap semua isi kandungan laman web masing-masing bagi mengelakkan komen sensitif berulang.Beliau berkata, pergerakan itu tidak akan berdiam diri sehingga pengendali laman blog tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan.“Kami akan mengambil tindakan susulan untuk memantau kegiatan pengendali laman web yang tidak bertanggungjawab dan Pemuda Umno sudah bosan kerana tiada tindakan dan penguatkuasaan terhadap mereka,” katanya.Isnin lalu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap laman blog itu kerana didakwa menghasut rakyat supaya menentang pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, selain Islam.Mohamad Norza berkata, mereka turut meminta media arus perdana supaya tidak memberikan kredibiliti kepada maklumat disiarkan pengendali laman blog tanpa memastikan kesahihannya.Beliau berkata, Pemuda Umno membidas kenyataan yang menyatakan laman web tidak tertakluk mengikut undang-undang Malaysia, sedangkan maklumat dan berita yang disiarkan khusus mengenai negara ini dan untuk tatapan rakyat.Katanya, Pemuda Umno berani berdepan dengan Raja Petra sekiranya pengendali laman blog itu bersedia mengadakan pertemuan bagi menjelaskan semua kenyataan yang disiarkan dalam Malaysia-Today.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?