Friday, August 17, 2007

Negeri Sembilan juga Maju

SEREMBAN: Rakyat di negeri ini tidak harus berkecil hati berikutan banyak projek mega dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di bahagian selatan, utara dan timur tanah air kerana proses pembangunan tetap berlaku di Negeri Sembilan.Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata negeri ini tetap mengalami proses pembangunan pesat apabila kerajaan menjadikan sebahagian daripada Seremban dan Port Dickson dalam lingkungan koridor pembangunan Lembah Klang.“Justeru, banyak projek pembangunan dan kemudahan akan dibangunkan bagi dimanfaatkan rakyat negeri ini sekali gus membawa negeri ini maju setanding dengan negeri lain,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang kepada pemimpin pertubuhan dan ketua jabatan kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman Rantau dekat sini, petang semalam.
Mohamad berkata, antara pembangunan yang dirancang ialah pembinaan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Pilah, yang tertangguh lebih lapan tahun lalu yang dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat selepas majlis pecah tanah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 23 Ogos ini.Beliau berkata, projek pembinaan kampus tetap UiTM cawangan Kuala Pilah di kawasan seluas kira-kira 32 hektar dijangka siap pada 2009 dengan perbelanjaan RM150 juta.“Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut konsep pembinaan kampus Universiti Sains Islam (USIM) di Nilai dan dengan upacara pecah tanah itu nanti, bermakna penantian untuk melihat kampus itu berdiri megah berakhir,” katanya.Mohamad berkata, projek pembinaan kampus tetap UiTM itu adalah antara kemudahan dalam bidang pendidikan yang dibina di negeri ini selain beberapa projek lain dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).“Selain daripada itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran akan membina sebuah kolej universiti perubatan di Enstek serta kampus Institut Aminuddin Baki di Nilai,” katanya.Sementara itu, beliau mahu semua rakyat negeri ini meraikan perayaan ke-50 kemerdekaan negara dengan menyertai kempen mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan kawasan penempatan masing-masing.“Saya tidak mahu bendera yang diberikan ini disimpan saja dan tidak dipasang kerana tindakan seperti itu tidak mencerminkan rasa cintakan negara. Saya berharap semua pihak terutama di premis perniagaan memasang Jalur Gemilang sepanjang kempen ini,” katanya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?