Wednesday, August 01, 2007

MB beri jaminan tidak naik tarif air 10 tahun lagi

Steady la Tok Mat

SEREMBAN: Tarif air di Negeri Sembilan tidak akan dinaikkan dalam tempoh 10 tahun walaupun Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) akan diperbadankan, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan hari ini.
Beliau berkata keadaan itu boleh berlaku kerana kerajaan negeri mendapat laba dengan bayaran sagu hati tahunan sebanyak RM10 juta yang akan dibayar oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SANS), syarikat hasil perbadanan itu.
"Proses memperbadankan JBANS ini akan dilaksanakan selepas pindaan enakmen bekalan air yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco negeri hari ini.
Katanya kerajaan negeri melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) akan mengambil alih aset JBANS seperti empangan dan loji rawatan air serta tanggungan hutang kerajaan negeri sebanyak RM1.1 bilion.
"MBI akan menyewakan aset JBANS kepada syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) di bawah kerajaan pusat termasuk pelupusan hutang kerajaan negeri dengan kerajaan pusat.
"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui PAAB kemudian akan menyewakan semula aset berkenaan kepada SANS yang akan menguruskan perkhidmatan bekalan air serta sumber air mentah di negeri ini," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata selepas kelulusan pindaan enakmen itu, kerajaan negeri akan mewujudkan peraturan baru bagi mengawal sumber air mentah di negeri ini, sebagai contoh sekiranya ada pihak yang melencongkan air sungai ke kawasan mereka untuk tujuan pengairan atau sebaliknya, perlu terlebih dahulu membuat permohonan kepada kerajaan negeri.
Selain itu, beliau berkata JBANS diperbadankan dengan tujuan memastikan operasi pembekalan air dikawal selia dengan lebih teratur tanpa mengganggu fungsi kerajaan negeri yang masih bertanggungjawab terhadap sumber air.
Selain itu ia memastikan pengguna mendapat perkhidmatan lebih cekap dan berkesan berbanding sekarang, katanya. BERNAMA

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?