Saturday, August 04, 2007

Khairy tidak fikir soal Ketua Pemuda

KEMAMAN 3 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau tidak mahu memikirkan soal bertanding jawatan tertinggi pergerakan itu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menghadapi pilihan raya umum.
Menurutnya, pada masa ini beliau hanya mahu menumpukan tugasnya sebagai orang nombor dua dalam Pemuda UMNO dan meminta semua ahli Pemuda berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Kita belum menghadapi pilihan raya lagi. Sekarang kita hendak cakap soal pilihan raya umum. Saya sendiri mahu tumpu kepada kerja saya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, itu lebih penting,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, Pemuda UMNO Perak sedia mencalonkan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO jika Hishammuddin memutuskan untuk tidak mengekalkan jawatan itu.
Mohd. Tajol dilaporkan berkata, Pemuda UMNO Perak akan menjadi negeri pertama mencalonkan Khairy kerana ia melihat beliau sebagai anak muda yang akan menjadi wira bangsa dan memartabatkan Melayu.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy meminta ahli UMNO supaya tidak terus berteka-teki tentang tarikh pilihan raya, sebaliknya harus terus memantapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“UMNO adalah tunjang Barisan Nasional (BN). Kalau berlaku perpecahan di kalangan ahli UMNO, ia akan memberi kesan kepada perpaduan dan keutuhan negara.
“Suatu masa dahulu, kita pernah perintah Kelantan tetapi terlepas kerana masalah perpaduan antara pucuk pimpinan,” katanya.
Katanya, secara keseluruhan, perpaduan di kalangan parti komponen BN tidak menghadapi sebarang masalah kecuali satu dua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu yang disifatkan boleh menggugat semangat perpaduan.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?