Thursday, August 09, 2007

Election just around d corner

PM jumpa 312 ADUN BN -- Beri isyarat pilihan raya umum ke-12 makin hampir
Oleh Nazrullah Rosli dan Arshad Khan

KUANTAN 8 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kerjasama dan muafakat yang lebih erat diwujudkan antara wakil-wakil rakyat dengan para pegawai tadbir kerajaan bagi melancarkan lagi pembangunan negara.
Beliau berkata, pemerintah dan pentadbir tidak boleh dipisahkan demi memastikan kejayaan agama, bangsa dan negara.
Menurut beliau, jika hanya satu pihak berusaha gigih manakala satu pihak lagi bersikap sebaliknya, usaha untuk memajukan negara demi kebaikan rakyat akan menjadi sukar.
“Ahli Dewan Undangan Negeri yang bergerak pada peringkat kampung atau kawasan-kawasan yang diwakili menjadi barisan hadapan dalam apa yang kita (kerajaan) usahakan, namun segigih mana pun kita tetap harapkan kerjasama dengan pegawai-pegawai daerah.
“Peranan semua peringkat pentadbiran adalah amat penting dan perlu dijayakan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini malam ini.
Hadir sama ialah isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Abdullah berkata, wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan perlu menyedari bahawa projek-projek yang dirancang untuk pembangunan rakyat amat penting untuk dijayakan.
“Dengan cara ini, hasrat untuk membantu rakyat akan tercapai dan rakyat akan terus menyokong kita (kerajaan),” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pegawai-pegawai kerajaan terus berusaha meningkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata, dalam usaha menuju ke arah Wawasan 2020, negara tidak ada pilihan lain melainkan memastikan wujud kerjasama yang erat antara semua pihak bagi mencapai objektif pembangunan.
Hari ini Abdullah mengadakan perjumpaan dengan 312 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dari seluruh negara di sini.
Perjumpaan tertutup itu merupakan perhimpunan BNBBC yang kedua selepas program di Ipoh, Perak sebelum ini dan program politik itu memberi isyarat bahawa pilihan raya umum ke-12 semakin hampir.
Ketua Sekretariat perhimpunan itu, Datuk Shamsuddin Nawawi berkata, perhimpunan itu disertai 312 daripada 352 ADUN Barisan Nasional (BN) dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya, perhimpunan itu berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana mesra.
Sementara itu, beberapa wakil rakyat yang ditemui selepas perhimpunan itu berkata, Perdana Menteri memberi amanat yang amat berguna kepada mereka khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum.
ADUN Galas, Kelantan, Mohamad Saufi Deraman berkata, peringatan terpenting Perdana Menteri ialah agar mereka terus berkhidmat kepada rakyat tanpa memikirkan mengenai pilihan raya yang kini menjadi buah mulut banyak pihak.
Beliau berkata, Abdullah menasihatkan mereka memberikan fokus yang mendalam terhadap tugas hakiki iaitu membantu rakyat setiap masa tanpa mengalih perhatian kepada perkara lain.
‘‘Amanat yang diberikan amat jelas sekali iaitu tumpuan utama adalah rakyat dan bukan perkara-perkara lain,” katanya.
ADUN Gadek, Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, Perdana Menteri turut menasihatkan agar mereka menitikberatkan aspek perpaduan dalam parti.
‘‘Kami dinasihatkan agar menjauhkan pergeseran yang tidak mendatangkan sebarang faedah dalam tugas membantu rakyat,” katanya.


Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?