Monday, July 16, 2007

UMNO perlu pelapis teruskan

SUBANG JAYA 15 Julai – Perjuangan UMNO dalam membela nasib orang Melayu sejak lebih 60 tahun lalu perlu diteruskan oleh anggota parti daripada kalangan generasi muda walaupun sehingga 50 tahun akan datang.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, sehubungan itu, golongan pelapis perlu berbincang sesama sendiri bagi mengenal pasti bidang yang perlu diberi tumpuan untuk memacu kejayaan bangsa pada masa depan.
‘‘Pemimpin UMNO yang terdahulu telah menjaga UMNO sejak ditubuhkan 61 tahun lepas dan sejak itu UMNO telah mencapai kejayaan yang menakjubkan dalam mewujudkan peluang, kemudahan dan kepakaran kepada orang Melayu,” katanya.
Beliau berucap merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini hari ini.
Muhammad menjelaskan, dalam hubungan ini tiada sebab bagi orang Melayu untuk menyokong pembangkang yang hanya memperjuangkan personaliti tertentu.
‘‘Bila personaliti yang diperjuangkan itu tidak membawa kemajuan, mereka bertindak keluar parti pula.
‘‘UMNO merupakan parti yang segar dan sentiasa mempunyai idea yang banyak, malah memberi kebahagiaan kepada rakyat,’’ katanya.
Beliau juga menegaskan, semangat ahli UMNO sudah meningkat ketika ini malah mereka juga bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa.
‘‘Kita membuat persiapan awal bagi memastikan kemenangan sentiasa memihak kepada UMNO.
‘‘Minda ahli-ahli UMNO juga dilatih supaya bersedia menghadapi parti pembangkang yang sentiasa mencari kelemahan,’’ ujarnya.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?