Thursday, July 05, 2007

TAHNIAH Dato' Mat Hasan

Allson Klana Resort 100% Milik MBI



YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus mengumumkan pada hari ini (3 Julai 2007, Selasa) Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus melalui Menteri Besar, Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau Menteri Besar Incorporated (MBI) telah mengambilalih Allson Klana Resort, Seremban, berkuatkuasa 1 Julai 2007.Perjanjian ini telah ditandatangani di antara MBI dengan Glen Glamour Sdn. Bhd.
Perjanjian yang memberikan pegangan daripada 30 peratus saham kepada 100 peratus di dalam Allson Klana Resort kepada pihak MBI merupakan satu kemajuan besar bagi entiti Kerajaan Negeri Sembilan ini, yang sebelumnya mempunyai pegangan saham minoriti di dalam hotel peranginan terkemuka tersebut.
Pencapaian pemegangan hak milik sepenuhnya ini telah dijayakan melalui beberapa perundingan awal serta kerjasama korporat antara MBI dan Perbandanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS). Kedua-dua agensi Kerajaan Negeri Sembilan tersebut juga mempunyai pegangan saham minoriti dalam beberapa entiti perniagaan yang lain iaitu NS Township Sdn. Bhd. Arul Ikhlas Sdn. Bhd. dan Advance Point Sdn. Bhd.

Dalam pembangunan korporat yang baru, MBI telah mengintegrasikan kesemua saham-sahamnya di dalam syarikat tersebut dan memilih untuk menukarnya kepada satu pegangan yang lebih besar dalam Allson Klana Resort.
Melalui pegangan saham 100 peratus di dalam Allson Klana Resort, kini MBI memperolehi aset tambahan bernilai RM70 juta.
Pemilikan ini juga memberi ruang yang lebih besar bagi MBI untuk turut sama membangunkan sektor pelancongan bersesuaian dengan dasar Think Tourism di Negeri Sembilan.
Hotel dan pusat peranginan empat bintang yang terletak di Jalan Penghulu Cantik, Seremban ini mempunyai 228 bilik, termasuk 1 (satu) Presidential Suite, 1 VIP Suite, 2 Executive Suite dan 1 Klana Suite.
Kawasan hotel seluas 29 ekar ini dikelilingi kehijauan Taman Tasik Seremban. Sesuai dengan persekitaran yang mendamaikan, hotel ini turut dilengkapi dengan kemudahan latihan bina pasukan (team building), rekreasi dan kegiatan lasak. Kolam renang yang terdapat di hotel ini adalah juga antara yang terbesar di negeri ini.
Bagi kemudahan pengunjung, hotel ini menawarkan Selera Coffee House yang menawarkan makanan antarabangsa dan Asia, Cascades Lobby Lounge, Yuri Japanese Resturant, Blossom Court Chinese Restaurant, Selera Sweets dan café Giggles.
Untuk jamuan, Grand Klana Ballroom boleh menempatkan 800 orang, selain bilik-bilik untuk persidangan dan seminar.
Hotel ini mula dibuka pada 10 Januari, 1993. Selaras dengan pemilikan ini, Allson Klana Resort akan dinaik taraf secara berperingkat.



Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?