Sunday, July 15, 2007

Pemuda gesa kerajaan tamatkan operasi CTOS

Bank Negara boleh wujud sistem salur maklumat

: KhairyREMBAU: Kerajaan digesa menutup terus syarikat pembekal maklumat kewangan, Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) yang jelas menyalah guna pelbagai peraturan dan prosedur operasi sehingga menganiaya begitu ramai individu yang kebetulan majoritinya pula Melayu.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan syarikat itu membekalkan maklumat lapuk yang gagal dikemaskini menyebabkan ramai menjadi mangsa, sedangkan CTOS pula mengaut untung."Saya berpendapat perlu ada sistem penyaluran maklumat kewangan yang betul, tepat dan telus. Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh mewujudkan sistem sendiri supaya maklumat kewangan yang disalurkan adalah tepat."Malah, sistem seperti ini sepatutnya sudah lama dikendalikan oleh kerajaan, bukan syarikat swasta," katanya, selepas majlis perasmian serentak mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Rembau di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, dekat sini semalam.Majlis disempurnakan oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Setiausaha Umno negeri, Datuk Azman Hassan.Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan, berkata maklumat yang disalurkan CTOS tidak tepat serta menganiayai orang ramai yang kebanyakannya sudah lama melangsaikan hutang mereka kepada organisasi pemberi pinjaman.Sementara itu di KUALA LUMPUR Polis sedang meneliti sama ada undang-undang jenayah boleh dikenakan terhadap CTOS, berhubung tindakan mereka mendedahkan maklumat kewangan peribadi kepada institusi tertentu.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis juga berbincang dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menentukan persoalan undang-undang itu.“Kita meneliti sama ada perbuatan CTOS itu adalah perlakuan jenayah yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya dalam sesi dialog antara polis dengan masyarakat, ahli perniagaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini, semalam.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?