Tuesday, July 24, 2007

Pemimpin UMNO perlu berani bersuara

Oleh Suffian Abu Bakar
MUAR 23 Julai – Pemimpin UMNO perlu mengikis sikap takut untuk bersuara kerana bimbang kedudukan mereka sebagai wakil rakyat hilang dan akhirnya menjadikan parti semakin lemah.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, sindrom ‘takut untuk kuat bercakap dan bimbang kerusi mereka akan hilang’ itu tidak sepatutnya ada pada pemimpin parti sebaliknya mereka perlu berani bersuara.
Menurut beliau, tiada sebab untuk pemimpin UMNO takut untuk bersuara hanya kerana bimbang tidak mendapat sokongan kaum-kaum lain dalam pakatan parti Barisan Nasional (BN).
‘‘Dalam menghadapi tekanan daripada pihak luar agar masyarakat Melayu hilang hak mereka, orang Melayu agak berhati-hati sangat.
‘‘Apabila pihak tertentu mempersoalkan tentang status negara Islam, kita terlampau berhati-hati, mungkin tidak mahu dianggap ‘ultra’ iaitu apabila kuat sangat bercakap, kerusi boleh hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak, dekat sini semalam.
Kelmarin, beberapa akhbar melaporkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan mempertikaikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang menegaskan Malaysia adalah negara Islam yang melindungi hak bukan Islam.
Ka Chuan antara lain dilaporkan berkata, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular terbukti menerusi pelbagai dokumen sejarah termasuk Laporan Reid, Suruhanjaya Cobbold dan keputusan Mahkamah Agung yang dibuat pada 1988.
Kenyataan pemimpin MCA itu mendapat reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammudddin Hussein yang semalam meminta pemimpin MCA berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Malaysia sebagai sebuah negara sekular kerana ia tidak membawa manfaat.
Mengulas lanjut pada sidang akhbar kemudian, Muhammad berkata, pemimpin UMNO sepatutnya lebih berani mengemukakan pandangan mereka dan tidak dinafikan sikap bimbang jawatan mereka akan hilang .
‘‘Apakah itu tanggungjawab kita sebagai pemimpin dalam UMNO?, Kita sepatutnya harus berani kerana kita sebagai UMNO mengundi semua calon dalam BN termasuk calon dari UMNO, MCA, Gerakan dan PPP.
‘‘Tidak ada sebab untuk calon pemimpin UMNO takut mereka tidak akan disokong kaum-kaum lain,” jelasnya.
Menurut beliau, sindrom takut untuk bersuara ini akan melemahkan UMNO bukan sahaja di kalangan penyokong kuat parti, malah parti UMNO itu sendiri.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?