Wednesday, June 20, 2007

Pemuda UMNO tidak cadang minta tambah kerusi



KUALA LUMPUR, 18 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pergerakan itu tidak bercadang mendapatkan tambahan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada pergerakan itu pada pilihan raya umum lepas sudah cukup besar iaitu 56 kerusi dan daripada jumlah itu hanya enam calon Pemuda yang kalah.
“Amat tidak adil jika kita minta jumlah yang lebih besar daripada jumlah yang telah diberikan kepada Pemuda pada pilihan raya terdahulu.
“Perkara itu tidak dibincangkan dan saya tidak bercadang untuk membincangkannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan pergerakan itu di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, mesyuarat hari ini membincangkan pengisian bagi beberapa program sempena sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara 31 Ogos ini.
“Pemuda akan bersama-sama dalam semua program yang telah diaturkan oleh pucuk pimpinan parti bagi menjayakan sambutan itu,” katanya.
Hishammuddin kemudian menyerahkan ‘Sang Sakabangsa’ (Bendera UMNO) kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin, 24, yang akan melakukan ekspedisi mengelilingi dunia bermula 1 Julai ini.
Pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan itu akan melakukan ekspedisi itu dengan berbasikal, berenang merentasi Selat Inggeris, mendaki tujuh puncak tertinggi di dunia dan menjelajah ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.
Muhamad Muqharabbin sebelum ini telah menjadi pelajar Melayu pertama berjaya mendaki puncak Everest dalam ‘Ekspedisi Demi UiTM Everest 2004’.
Turut diadakan selepas mesyuarat itu ialah upacara memotong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun kedua penubuhan Putera UMNO.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?