Saturday, May 12, 2007

50 Tahun Kemerdekaan


Siti Rahmah diugut bunuh jika ke KL rai merdeka



KUALA LUMPUR: Datuk Siti Rahmah Kassim, 81, sanggup menghulurkan sumbangan termasuk menyerahkan gelang kesayangannya semata-mata untuk menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ke London bagi membincangkan tuntutan kemerdekaan, 50 tahun lalu.

Selepas kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957, Siti Rahmah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita pertama, diugut pula anggota polis British ketika rombongannya hendak bertolak ke Stadium Merdeka.

“Jika kamu semua meneruskan perjalanan, kamu akan mati kerana tempat itu bakal dihujani bom, menjadikan tempat itu kubur pejuang kemerdekaan sebagai balasan menghalau orang Inggeris dari Tanah Melayu.“Ketika itu kami sudah mahu bertolak dengan empat bas. Seorang daripada wakil kaum ibu terus berteriak: “Walau mati pun, kita mesti pergi,” kata Siti Rahmah menceritakan detik cemas pada petang 30 Ogos 1957.Rombongan itu kemudian bertolak ke Stadium Merdeka dan ternyata ugutan anggota polis British itu tidak berlaku sama sekali.“Tiada bom dilontar dan tiada yang mati, sebaliknya stadium riuh dengan pekikan Merdeka pada pagi 31 Ogos, 1957,” katanya.Siti Rahmah berkata, semangat kaum ibu ketika itu begitu membara untuk melihat bendera ‘Union Jack’ diturunkan, seterusnya bendera Persekutuan dinaikkan selain ingin merasai kehebatan sorakan merdeka dilaungkan Tunku Abdul Rahman.Menceritakan keghairahan meraikan hari penuh bermakna itu, beliau berkata, semua kaum ibu yang menaiki empat bas dari Rembau berpakaian seragam baju putih dan berkain batik merah untuk menunjukkan sokongan padu kaum ibu.“Ketika itu, kaum ibu bersungguh-sungguh untuk meraikan kemerdekaan, malah kami yang mengapi-apikan semangat orang lelaki yang ketika itu hampir menarik diri kerana takut dengan ugutan mati di Stadium Merdeka.“Kami berdiri di depan Bangunan Umno Rembau untuk membakar semangat semua yang hadir pada hari itu supaya rombongan empat bas itu akan tetap meneruskan perjalanan dan ada antara kaum ibu yang bertekad sanggup mati demi melihat detik bersejarah itu,” katanya.Siti Rahmah yang tidak dapat menahan sebak, berkata perjuangan memperoleh kemerdekaan bukan mudah, malah mereka sentiasa berdepan dengan ancaman penjajah yang boleh mengambil tindakan pada bila-bila masa jika kemerdekaan tidak dicapai.


Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?