Friday, March 14, 2008

Bahana sikap beres bos

Oleh Yusri Abdul Malek
Analisis keputusan PRU di Negeri Sembilan, MelakaSEKALIPUN keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dilihat satu tamparan hebat buat Barisan Nasional (BN), termasuk di Melaka dan Negeri Sembilan, namun BN di kedua-dua negeri itu tetap berazam membaiki perkhidmatan bagi memenangi semula hati pengundi yang hilang.PRU itu juga satu penanda aras bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri dalam membangunkan negeri di samping sikap pemimpinnya kepada rakyat.Walaupun Melaka kehilangan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen manakala Negeri Sembilan pula kehilangan 15 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen kepada pembangkang iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tetapi masih mampu menerajui kerajaan negeri.
Malah jika dilihat dari segi sokongan, daripada 426,208 pengundi di Negeri Sembilan yang keluar mengundi, 234,124 pengundi memilih calon BN manakala 189,943 mengundi calon parti pembangkang manakala selebihnya undi rosak.
Di Melaka pula, daripada 302,771 pengundi yang keluar mengundi, 163,917 mengundi calon BN manakala 124,213 mengundi calon parti pembangkang manakala selebihnya undi rosak.Jumlah pengundi masih memihak kepada BN dan ini menunjukkan BN masih relevan dan boleh diharap dalam memperjuangkan kepentingan rakyat di kedua-dua negeri itu yang bermajoriti Melayu.Berdasarkan pecahan kaum pula, memang terbukti kaum Cina tidak mengundi calon BN, sebaliknya mengundi calon pembangkang begitu juga dengan kaum India yang memihak kepada pembangkang manakala sebahagian besar kaum Melayu masih setia kepada BN yang calonnya daripada Umno.Ini dibuktikan berdasarkan kemenangan luar biasa DAP di kawasan majoriti Cina di seluruh negara.Malah, mereka berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Pulau Pinang buat pertama kali sejak 1969.Fenomena itu berlaku di seluruh negara menyebabkan empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan pembangkang.Bagi penganalisis politik, Datuk Seri Mohd Ali Rustam selaku Ketua Menteri akan tetap membangunkan negeri ini secara menyeluruh sekalipun kerusi DUN di kawasan bandar dikuasai pembangkang seperti di Kota Melaka.Ini termasuk pembinaan pangkalan marina bernilai RM25 juta di muara Sungai Melaka, pengindahan kawasan bandar untuk menarik pelancong dan sekitar Jonker Walk.Begitu juga di kawasan pentadbiran kerajaan negeri di Ayer Keroh yang kini dikuasai pembangkang.Pembangunan pesat di kawasan itu yang dianggarkan hampir RM2 bilion, termasuk pembinaan aerobus, Kompleks Planetarium terbesar dan Pusat Boling akan diteruskan.Kepentingan rakyat dan negeri tetap diberi perhatian kerana pembangunan tidak boleh tertumpu di sesuatu kawasan.“Bagi mencapai Melaka Maju 2010, Mohd Ali tidak boleh bersikap ‘memilih bulu’ dalam membuat pembangunan. Semuanya perlu menyeluruh.“Saya yakin tiada rakyat yang akan tersisih dalam perancangan kerajaan negeri, semua akan diberi perhatian sama rata. Ini termasuk dalam hal berkaitan ekonomi yang ada kaitan langsung dengan pengundi Cina. “Jadi jika ekonomi terjejas, mereka juga akan terjejas. Ini berbeza dengan kaum Melayu yang lebih banyak makan gaji.“Sekiranya berlaku sesuatu kepada ekonomi, mereka kurang mendapat kesan secara langsung,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan DAP di Melaka dalam PRU ke-12 lalu.Bagi Menteri Besar Negeri Sembilan pula, Datuk Seri Mohamad Hasan, usaha membantu rakyat tetap diberi keutamaan dalam setiap perancangan yang dibuat kerajaan negeri.Menurutnya, sekalipun banyak kerusi hilang tetapi sekarang bukan masa menunding jari mencari kesalahan sesiapa sebaliknya membuat penilaian dan mengambil langkah terbaik untuk memperbaiki kelemahan.Di bahu Mohamad yang kini menjadi Menteri Besar buat penggal kedua diletakkan harapan agar BN meneruskan tradisi membela rakyat di negeri itu.Sudah banyak jasanya sepanjang empat tahun lalu, termasuk menyelesaikan masalah tuntutan peneroka Felda Sendayan yang tertangguh sejak 10 tahun lalu dan membaiki jalan Bukit Putus yang menghubungkan Kuala Pilah-Seremban sepanjang hampir enam kilometer dengan kos lebih RM100 juta yang kini sedang giat dalam pembinaan.Jika Melaka berhasrat menjadi negeri maju pada 2010, Negeri Sembilan juga mempunyai sasaran sama iaitu pada 2015.Sekalipun keputusan PRU lalu amat pedih diterima tetapi usaha membangunkan negeri perlu diteruskan.Baginya, kehilangan banyak kerusi itu perlu dijadikan iktibar dan belajar daripadanya dan mencari jalan untuk membaiki kelemahan yang ada.Beliau yang pertama kali menerajui jentera pilihan raya negeri agak terkilan kerana Pas menang di Paroi dan terlepas dua kerusi iaitu Sikamat dan Ampangan kepada PKR iaitu kerusi DUN yang majoritinya orang Melayu.Calon Pas itu, Mohamad Taufek Abdul Ghani menewaskan calon BN, Datuk Zaharuddin Mohd Sharif dengan majoriti 1,107 undi manakala calon PKR Sikamat, Aminuddin Harun menewaskan Datuk Mohd Yusof Harmain Shah, dengan majoriti 499 undi manakala calon PKR Sikamat, Rashid Latiff menang ke atas calon BN, Mohd Nor Awang dengan majoriti tipis 165 undi.Bagi pembangkang, kemenangan itu bonus kerana tidak pernah menyangka boleh menang kerana sejarah pilihan raya sebelum ini lebih berpihak kepada BN.Malah awal-awal lagi, Mohamad Taufek yang juga bekas jurutera sebuah kilang di Seremban menyatakan hasrat untuk mendermakan 50 peratus daripada gajinya sebagai ADUN Tabung Kebajikan Paroi.Jelas sekali, kekalahan calon BN daripada Umno di ketiga-tiga DUN bermajoriti Melayu itu menunjukkan sikap ambil mudah jentera pilihan raya yang menganggap pengundi masih berpihak kepada BN, sedang hakikatnya selama kempen 13 hari dimanfaatkan pembangkang untuk menghentam BN di samping menjanjikan sesuatu yang baik kepada pengundi.Sikap ‘beres bos’ dilihat punca utama kekalahan calon BN daripada Umno di samping kemerosotan majoriti.Pemilihan calon mengikut citarasa golongan atasan tanpa mengambil kira pandangan akar umbi turut dilihat menjadi punca calon BN tewas atau kemerosotan majoriti.Bagi akar umbi, calon mewakili 60 peratus manakala parti pula 40 peratus jika mahu menjadi calon di kawasan mereka dan jika pandangan ini tidak diambil kira, ada kemungkinan berlaku sabotaj sehingga menyebabkan calon dipilih itu kalah.Selain faktor calon, isu kenaikan harga barang dan minyak serta langkah pembangkang untuk menurunkan harga minyak sedikit sebanyak berkesan meraih undi di kalangan pengundi atas pagar dan ada juga di kalangan pengundi BN. Walaupun faktor itu nampak remeh tetapi ulasan berulang kali menyebabkan pengundi mempercayainya dan memberi undi kepada calon pembangkang.Kini keputusan PRU ke-12 sudah membuktikan rakyat sudah berani bersuara melalui saluran demokrasi dan pemimpin BN perlu berani berubah. Bak kata seorang pemimpin veteran Umno, keputusan PRU ke-12 itu yang tidak memihak kepada BN adalah suara rakyat, pemimpin BN perlu berubah dan pastikan apa yang dicakap sampai kepada rakyat.Kerajaan BN Melaka dan Negeri Sembilan perlu menambat semula hati rakyat dan jangan sesekali menghukum mereka dengan tidak melakukan apa-apa di kawasan dikuasai pembangkang.Sikap membantu tanpa mengira kawasan adalah senjata ampuh untuk memenangi semula hati rakyat.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?